Sultan Selangor pandang serius perpecahan politik Melayu

Sultan Sharafuddin
Sultan Sharafuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memandang serius terhadap gejala perpecahan dalam kalangan kaum Melayu terutama pemimpin politik.

Baginda bertitah, perbalahan kaum Melayu dan pemimpin politik Melayu begitu ketara boleh mengancam perpaduan, keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum serta kestabilan politik di negara ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda tidak berhasrat mencampuri urusan politik dan pentadbiran negara, bagaimanapun berasa tanggungjawab untuk memberi nasihat dan pandangan bagi memperbetulkan keadaan di samping menggesa agar perpecahan orang Melayu dan pemimpin politik Melayu dapat segera dihentikan.

"Ini bagi menjamin kepentingan masyarakat Melayu dapat dipelihara tanpa mengenepikan hak dan kepentingan masyarakat bukan Melayu di negara ini," titah baginda dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut baginda, pemimpin politik Melayu perlu sedar bahawa pembangunan dan kemajuan negara amat bergantung kepada kepimpinan yang stabil.

"Andai kata pemimpin Melayu gagal menunjukkan kepimpinan yang baik dan bertanggungjawab, kaum lain akan hilang rasa hormat terhadap pemimpin Melayu dan sekali gus tidak akan memberi sokongan kepada pemerintahan orang Melayu," titah Sultan Sharafuddin.

Baginda bertitah, selain mengamalkan sikap kepimpinan yang baik dan tidak berbalah sesama sendiri, pemimpin politik Melayu harus juga bekerjasama dengan pemimpin parti politik kaum lain bagi menjamin pembangunan negara dijadikan keutamaan demi keselesaan hidup rakyat pelbagai kaum.

No Image Caption

Sultan Sharafuddin turut menggalakkan rakyat terutama kaum Melayu menonton filem Mat Kilau agar ia boleh dijadikan sebagai satu tauladan dan pengajaran bahawa sesebuah tamadun dan negara boleh runtuh seandainya tidak bersatu-padu mempertahankannya.

"Beta telah menonton filem Mat Kilau yang memaparkan bagaimana perpecahan dalam kalangan orang Melayu boleh mengakibatkan pihak luar mudah menguasai kita.

"Jika dihayati dialog yang digunakan di dalam filem ini, ia bertepatan bagi menyampaikan mesej kepada orang Melayu bahawa kekuatan sesuatu bangsa terletak kepada semangat perpaduan dan pegangan kepada agama Islam," titah Sultan Sharafuddin.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut bertitah, gejala fitnah-memfitnah berlaku secara berleluasa dalam kalangan masyarakat.

Tegas baginda, penyebaran berita fitnah yang tidak ditentukan kesahihannya serta budaya menyerang perilaku peribadi seseorang individu telah menggugat keharmonian masyarakat.

Baginda bertitah, semua pengkhianatan serta kebencian yang dilahirkan secara terbuka itu seolah-olah sudah menjadi satu budaya

"Kita perlu sedar bahawa fitnah boleh mendatangkan dosa yang besar dan kemurkaan ALLAH S.W.T.

"Agama Islam sendiri menggalakkan manusia untuk berdamai dan bersatu-padu dan melarang umatnya berpecah serta bermusuhan sebagaimana firman ALLAH di dalam surah Ali-Imran ayat 103," titah baginda.

Sehubungan itu, baginda bertitah, semua pemimpin politik dan rakyat di negara ini mengamalkan budaya sihat berpandukan kepada sikap toleransi dan berprasangka baik bagi mencapai aspirasi perpaduan hidup bersama demi kemakmuran negara.

"Beta meminta kita bersama-sama membangunkan sebuah masyarakat yang gagah, bebas dari rasuah, bermaruah, harmoni dan berwibawa dengan menghormati nilai-nilai perpaduan kemanusiaan sejagat," titah Sultan Sharafuddin.

4 Julai 2022 ~ KENYATAAN D.Y.M.M. SULTAN SELANGOR Beta telah menonton filem Mat Kilau yang memaparkan bagaimana...

Posted by Selangor Royal Office on Sunday, July 3, 2022