DOSM raih Anugerah Kecemerlangan Pendokong Perkongsian Data Nasional

Kenyataan media DOSM pada Ahad
Kenyataan media DOSM pada Ahad
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menerima Anugerah Kecemerlangan Pendokong Perkongsian Data Nasional kategori sektor awam sempena Majlis ‘Digital Economy Industry Apperciation Award’ anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Pejabat Ketua Perangkawan Malaysia dalam kenyataan berkata, anugerah itu disampaikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa kepada Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

“Anugerah ini merupakan penghargaan dan menjadi pembakar semangat buat seluruh warga kerja DOSM agar terus berdedikasi dalam melaksanakan tugas penyampaian statistik yang berkualiti kepada orang awam meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk pandemik Covid-19 dan peningkatan keperluan pelbagai data baharu serta ‘real time data’ (data masa nyata) bagi pengurusan sosio ekonomi negara dalam persekitaran yang semakin kompleks.

“DOSM sebagai agensi utama dalam urus tadbir data negara menyediakan sistem maklumat statistik yang bermutu, relevan serta capaian dalam bentuk masa nyata,” kata kenyataan tersebut pada Ahad.

Menurut kenyataan tersebut, DOSM memastikan produk dan perkhidmatan yang disediakan berorientasikan pengguna dan bertepatan masa dengan membekalkan data kepada agensi pusat untuk pembentukan dasar perancangan pembangunan serta pentadbiran negara.

Tambahnya, sehingga Jumaat, portal rasmi DOSM telah dilawati seramai 5,734,113 pelawat manakala sebanyak 1,166 penerbitan statistik serta 125 amaran status telah dikeluarkan.

“Dalam penerbitan visual interaktif penyebaran data, DOSM telah menyediakan lima platform iaitu 'Malaysia External Trade Statistics Online', 'Busines Cycle Clock Malaysia CPI Inflation Calculator', 'My Local Stas dan Population Quick info'.

“Selain itu, sebanyak sembilan 'dashboard' juga telah disediakan iaitu 'Agricultural Analytical System', 'Tourism Dashboard', 'Malaysia Economic Recovery Dashboard', 'National Occupational Accident Statistics', 'Job Market Insights', 'My Job Profile', 'Malaysia Labour Market Interactive Data' (MyLMID), 'OpenDOSM' dan 'Population and Housing Census of Malaysia Dashboard' (MyCendash).

“DOSM juga telah membangunkan tujuh portal data iaitu e-Statistik, 'StatsDW', 'StatsBDA', 'Stats Geopartal', 'Stats Digital', 'MysIDC' dan Portal Banci,” menurut kenyataan itu.