Harga minyak sawit dijangka tidak turun bawah RM4,500 satu tan

Gambar kecil: Zuraida
Gambar kecil: Zuraida
A
A
A

KERAJAAN menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) tidak akan turun di bawah paras RM4,500 satu tan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Katanya, sebelum ini beliau menjangkakan harga komoditi tersebut akan merosot pada akhir tahun ini tetapi ia berlaku lebih awal berikutan faktor larangan eksport oleh Indonesia dan perang Ukraine.

"Harga sawit tidak jatuh sampai kepada tahap RM2,500 seperti dulu, tetapi seperti yang saya telah jangkakan dahulu harga sawit norma baharu akan jatuh antara RM4,500 dan RM5,000 satu tan.

Oleh itu, kita kini dalam fasa tersebut.

"Jangkaan saya harga tersebut berlaku pada akhir tahun ini tetapi berikutan gangguan dalam pasaran pada masa ini, (iaitu) Indonesia melarang eksport minyak sawit dan kemudian perang Ukraine menyebabkan harga sawit mula turun.

"Itu yang saya jangka dan ia akan naik semula tetapi norma baharu antara RM4,500 dan RM5,000 satu tan.

Jadi apa pun pekebun sawit masih menikmati harga yang tinggi dan masih lagi mendapat pendapatan yang tinggi,” katanya kepada pemberita pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke plot penanaman 'single origin' Panchor di Ladang Koko Ting Agro Enterprise (TAE) di Kampung Panchor di sini.

Harga MSM menunjukkan arah aliran penurunan bermula 7 Jun lepas iaitu daripada RM6,753.50 satu tan kepada RM5,046.00 satu tan pada 22 Jun atau penurunan sebanyak 25.3 peratus dalam tempoh hanya kira-kira dua minggu.

Dalam pada itu, Zuraida berkata kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk menarik atau menggantung lesen mana-mana pengilang minyak masak peket satu kilogram (kg) jika terbukti mereka menjualnya di pasaran gelap.

Beliau berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak 60,000 tan metrik minyak masak bersubsidi untuk kegunaan kira-kira 32 juta rakyat di negara ini.

"Kita dah kira rakyat Malaysia seramai 32 juta orang. Kalau 60,000 tan metrik, setiap rakyat Malaysia akan mendapat sekurang-kurangnya dua kg (minyak masak) setiap bulan.

Satu keluarga (secara purata) boleh mendapat 10kg satu bulan,” katanya.

Terdahulu, Zuraida menyerahkan sumbangan daripada Majlis Getah Malaysia (MRC), Lembaga Getah Malaysia (LGM) serta Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berjumlah RM250,000 kepada 50 penerima dalam kalangan pekebun kecil getah dan keluarga B40 di Kampung Bukit Payung di sini.

Sumbangan itu merupakan bakul makanan terdiri daripada beras, gula pasir, tepung gandum, minyak masak dan wang tunai. - Bernama