Kerajaan ambil tindakan ketirisan minyak masak ke negara jiran

Mustapa M(kanan) bertanyakan sesuatu kepada salah seorang peniaga semasa beliau melakukan tinjauan harga barang keperluan harian dan runcit di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong pada Ahad. - Foto Bernama
Mustapa M(kanan) bertanyakan sesuatu kepada salah seorang peniaga semasa beliau melakukan tinjauan harga barang keperluan harian dan runcit di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan memandang serius masalah ketirisan pembekalan minyak masak bersubsidi yang antaranya dikatakan berpunca daripada kegiatan penyeludupan ke negara jiran, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau yang juga anggota Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan apabila bekalan minyak masak peket bersubsidi dalam negara kini didapati berkurangan.

Beliau berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak bagi mendapatkan maklumat lebih jelas mengenai isu itu termasuk dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Kita ingin tahu sejauh mana seriusnya perkara ini, kerana kerajaan beri subsidi (untuk penduduk tempatan), namun ia dinikmati oleh orang asing... perkara ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya ketika ditemui selepas meninjau harga barangan keperluan harian dan runcit di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini pada Ahad.

Merujuk kepada Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Mustapa berkata, pasukan itu akan mengadakan mesyuarat kali ketiga pada Isnin dengan memberi fokus kepada dua perkara utama iaitu kaedah bagi menangani isu kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi dan isu kenaikan harga barangan keperluan. - Bernama