‘Zahid tak pernah minta saya tandatangan SD’

Annuar pada sidang media selepas melancarkan Logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 di Auditorium Perdana Angkasapuri, pada Jumaat. - Foto Bernama
Annuar pada sidang media selepas melancarkan Logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 di Auditorium Perdana Angkasapuri, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mendedahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah memintanya menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Sebaliknya, Menteri Komunikasi dan Multimedia itu secara berseloroh berkata, berkemungkinan Ahmad Zahid mengetahui siapa dirinya.

“Mungkin dia tahu siapa Annuar Musa, siapa Anwar Ibrahim. Walaupun nama sama, tapi tak sama pendirian politik.

“Ahmad Zahid tidak pernah suruh saya (tandatangan SD), tak ada,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan logo dan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 di Angkasapuri pada Jumaat.

Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebelum ini dilapor mendedahkan sememangnya wujud SD dalam kalangan ahli Parlimen UMNO yang menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

Tajuddin berkata, pendedahan itu dilakukannya sebagai saksi hidup berikutan Ahmad Zahid tidak mendedahkannya kepada akar umbi.

Mengulas lanjut, Annuar turut berpandangan bahawa pucuk pimpinan parti perlu mencari jalan bagi mengharmonikan keadaan susulan pendedahan yang dibuat itu.

“Kalau masing-masing terus serang menyerang antara satu sama lain saya rasa mungkin ada baiknya kita tumpu kepada solidariti dan memberi perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya, isu yang ditimbulkan oleh Tajuddin itu juga tidak dapat dielakkan kerana setiap individu mempunyai hak menyatakan pandangan.

“Tetapi tanggungjawab kepada pimpinan pada saya mengharmonikan keadaan dan kita perlu memperkasakan parti.

“Kalau boleh saya cadangkan supaya harus ada pihak-pihak tertentu mengambil tindakan-tindakan untuk menguruskan hal ini secara dalaman,” tegasnya.