Lelaki dikhuatiri lemas ketika pancing ikan di Tasik Gubir

Operasi pencarian mangsa di Tasik Gubir ditangguhkan setakat 7 petang pada Khamis. - Foto JBPM Kedah
Operasi pencarian mangsa di Tasik Gubir ditangguhkan setakat 7 petang pada Khamis. - Foto JBPM Kedah
A
A
A

SIK - Seorang lelaki dikhuatiri lemas manakala seorang lagi ditemui selamat selepas terjatuh ke dalam tasik ketika menangkap ikan di Tasik Gubir, pada pagi Khamis.

Mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Othman Abdul Ghani, 49, manakala Muhammad Khairul Badri Mahyuddin, 28, ditemui selamat.

Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Syobirin Abd Kadir berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 11.07 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik dan Sungai Petani yang diketuai Penolong Penguasa Bomba Mohd Fauzi Razali dihantar ke lokasi.

"Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Sungai Petani dan Jitra turut membantu di lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat," katanya dalam kenyataan akhbar pada Khamis.

Syobirin berkata, kedua-dua lelaki berkenaan dikatakan menangkap ikan di kawasan itu.

"Pasukan bomba menjalankan pencarian di permukaan air dengan menggunakan bot dan selaman oleh pasukan penyelamat di air dari BBP Sungai Petani dan BBP Jitra," katanya.

Menurutnya, sehingga kini mangsa belum dijumpai dan operasi ditangguhkan pada 7 petang.