Majlis Raja-Raja bincang pelantikan Timbalan Pengerusi MKI

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat menghadiri hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-259 di Istana Negara, hari ini. Mesyuarat itu yang bermula semalam dipengerusikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (kiri). Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan). - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat menghadiri hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-259 di Istana Negara, hari ini. Mesyuarat itu yang bermula semalam dipengerusikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (kiri). Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan). - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-259 yang bersidang dua hari sejak semalam di Istana Negara, antaranya membincangkan pelantikan beberapa jawatan termasuk Timbalan Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Pengerusi dan Ahli Dilantik Jawatankuasa bawah MKI.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, turut dibincangkan adalah pelantikan Hakim Mahkamah Khas dan Ahli-ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), selain beberapa kertas makluman daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta Kementerian Alam Sekitar dan Air.

Selain itu, perkara mengenai calon-calon penerima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong Tahun 2022 dan Peraturan-peraturan MKI 2022 turut dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

"Majlis juga telah disembahkan taklimat terkini mengenai keselamatan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan pertahanan negara oleh Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang.

"Majlis juga telah mendengar taklimat mengenai Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Syed Danial berkata, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berangkat menghadiri hari kedua mesyuarat itu, diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mesyuarat dipengerusikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail itu berlangsung selepas kali terakhir diadakan pada 9 dan 10 Mac lepas yang dipengerusikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pada hari pertama mesyuarat, Syed Danial berkata Raja-Raja Melayu dan Yang Dipertua Negeri telah berangkat hadir, termasuk Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra dan Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim. - Bernama

Artikel Berkaitan: