Desak Zahid jawab pendedahan Tajuddin sebelum gesa bubar MPN

Wan Ahmad Faysal
Wan Ahmad Faysal
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didesak menjawab dahulu dakwaan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang dibuat ke atasnya daripada menggesa pembubaran Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Ahmad Zahid perlu menjawab segera pendedahan Tajuddin bahawa beliau menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

"Jangan berdolak dalih lagi Zahid, jawablah (pendedahan) Tajuddin dengan segera supaya masyarakat terutamanya ahli UMNO dapat jawapan yang sebenar!

"Saya yakin sehingga kini ahli-ahli UMNO masih tertunggu-tunggu jawapan 'pemimpin' mereka yang sangat disanjungi itu. Perjelaskanlah kepada mereka wahai Zahid. Tak perlu nak alihkan isu.

"Kalau tak ingat soalan tak apa, saya bantu. Betul atau tidak kamu ada tandatangan SD sokong Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri?" soalnya menerusi kenyataan di Facebook beliau pada Khamis.

Sinar Harian terdahulu melaporkan Ahmad Zahid menggesa agar MPN dibubarkan selepas kerajaan menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.

Menurut beliau, MPN yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu tidak lagi berkesan dan diperlukan serta bercanggah dengan usaha-usaha terkini kerajaan untuk menangani masalah rakyat.

Mengulas lanjut, Timbalan Menteri Perpaduan Negara itu menegaskan, persoalan berkenaan perlu dijawab dahulu sebelum Zahid mencampuri urusan MPN.

"Bubar atau tidak, itu tak ada kena mengena dengan kamu. Itu urusan kerajaan. Sehingga kini MPN yang dianggotai oleh para menteri dan pakar-pakar dalam pelbagai bidang ekonomi, sosial, industri telah menjalankan tugasan mereka dengan baik sekali.

"Kalau Zahid nak tahu, setiap bulan ahli MPN akan bertemu, berbincang dan mendengar segala cadangan yang dikemukakan oleh kementerian, agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) dengan iltizam untuk memulihkan ekonomi negara," ujarnya.

Jelas beliau lagi, hasil daripada perbincangan-perbincangan tersebut, MPN akan mencadangkan pula kepada ahli kabinet untuk diambil tindakan menerusi kementerian dan agensi masing-masing.

"Ha! Itu saya dah jawabkan. Sekarang ni giliran kamu pula jawab (pendedahan) Tajuddin. Berkata benarlah walau pahit wahai Zahid!" katanya.