Pertahan Stadium Shah Alam, ikonik dan kemegahan Selangor

Azhari (tengah) gesa Stadium Shah Alam yang menjadi kebanggaan rakyat Selangor dipertahankan.
Azhari (tengah) gesa Stadium Shah Alam yang menjadi kebanggaan rakyat Selangor dipertahankan.
A
A
A

SHAH ALAM - Struktur asal Stadium Shah Alam yang menjadi ikonik serta lambang kemegahan Selangor perlu dipertahankan dan tidak dirobohkan.

Ketua UMNO Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, Stadium Shah Alam adalah melambangkan kewujudan Shah Alam secara keseluruhan.

Menurutnya, stadium yang dirasmikan oleh Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pada 1994 adalah bukti komitmen Almarhum mewujudkan sebuah pusat pentadbiran negeri yang lengkap di Shah Alam selepas Kuala Lumpur diserahkan kepada Pusat.

"Jika pintu gerbang Kota Darul Ehsan di Petaling Jaya boleh dipulihara semula kerana ada nilai sejarah, begitu juga Stadium Shah Alam yg perlu dipertahankan kerana sangat dekat dengan sejarah penubuhan bandar raya Shah Alam itu sendiri yang dicetuskan Almarhum Sultan Salahuddin.

"Banyak memori indah serta kejayaan terlakar di Stadium Shah Alam dan hanya anak jati Selangor yang dapat rasakan kesedihan dan kebimbangan sebaik sahaja berita ura-ura ia hendak dirobohkan tersebar.

"Orang luar Selangor mungkin tidak mempunyai perasaan begitu, tetapi anak jati Selangor yang melihat sendiri stadium ini dirancang, dibina dan dirasmikan oleh Almarhum Sultan Salahuddin akan merasakan kesedihan jika benar ia akan lenyap dari pandangan," katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Khamis.

Katanya, masalah banyak kerosakan fasiliti di stadium tidak akan timbul jika kerja-kerja penyelenggaraan dilaksanakan secara berkala dan mengikut jadual.

Tambahnya, pentadbiran negeri perlu kreatif dalam berdepan isu berkenaan dan tidak mengambil jalan mudah meroboh dan membina semula stadium berkenaan.

"Tidak perlu lantik konsultan mahal-mahal, rujuk sahaja pengurusan Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Putra Bukit Jalil yang mempelbagaikan aktiviti serta mempromosi kawasan sekitar Kompleks Sukan Bukit Jalil dengan program yang mendatangkan sumber pendapatan lain seperti penganjuran karnival.

"Pembangunan pesat di sekitar Stadium Shah Alam seharusnya menjadi kelebihan utk stadium berkenaan hidup dan LRT3 yang dibina perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

"Baiki segera kerosakan dan selepas itu, lantik pengurusan yang bijak dalam mempelbagaikan sumber pendapatan untuk stadium berkenaan agar tidak harap peruntukan kerajaan semata-mata.

"Integrasikan kemudahan lain yang ada agar kompleks sukan berkenaan terus menjadi tempat pilihan acara sukan, riadah, ekonomi setempat, karnival mahupun aktiviti sosial lain yang bermanfaat," katanya.

Tegasnya, Selangor perlu mempunyai enakmen warisan sendiri agar bangunan bersejarah terus dipertahan dan dipulihara.

Pada Rabu, sebuah agensi media melaporkan gelanggang rasmi bagi pasukan bola sepak Red Giants itu didakwa akan diroboh dan digantikan dengan sebuah stadium baharu yang lebih kecil.

Susulan daripada itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan pembangunan semula Kompleks Sukan Stadium Shah Alam akan dilaksanakan berdasarkan hasil penilaian satu jawatankuasa khas yang dilantik.

Menerusi ciapan di Twitter, Amirudin berkata, pembangunan semula itu juga akan membabitkan Stadium Melawati sebelum tindakan selanjutnya diumumkan tidak lama lagi.