Sindiket proses minyak enjin terpakai jadi diesel tumpas

Jalaludin (depan) menunjukkan tangki penyimpanan minyak enjin terpakai di sebuah kilang di Kampung Jeram Batu Pekan Nanas pada Khamis.
Jalaludin (depan) menunjukkan tangki penyimpanan minyak enjin terpakai di sebuah kilang di Kampung Jeram Batu Pekan Nanas pada Khamis.
A
A
A

PONTIAN - Polis Johor berjaya menumpaskan sindiket memproses minyak enjin menjadi diesel dianggarkan bernilai RM7.3 juta susulan penahanan lima individu di sebuah kilang di Kampung Jeram Batu, Pekan Nanas pada jam 5.30 petang pada, Selasa lalu.

Pemangku Ketua Polis Johor, Senior Asisten Komisioner Jalaludin Hamid berkata sindiket didalangi warga tempatan itu dipercayai sudah beroperasi sejak enam bulan lalu.

"Suspek yang ditahan terdiri daripada pemilik kilang warga tempatan berusia 48 tahun dan empat lagi pekerja iaitu seorang warga tempatan, dua warga Bangladesh serta seorang warga Indonesia. Kesemua mereka berusia antara 22 hingga 49 tahun," katanya pada sidang akhbar di Kampung Jeram Batu, Pekan Nanas pada Khamis.

Hadir sama, Komander PPM Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah.

Menurut Jalaludin, modus operandi sindiket ini adalah dengan membeli minyak enjin terpakai daripada bengkel dan kilang sekitar negeri ini sebelum diproses menjadi diesel.

Jalaludin menunjukkan minyak yang telah diproses.
Jalaludin menunjukkan minyak yang telah diproses.

"Minyak enjin terpakai dibeli dengan harga 30 sen seliter. Selepas dikumpul, minyak enjin terpakai ini akan diproses menjadi diesel mengikut standard dan kemudiannya dijual kepada pihak industri.

"Difahamkan pihak industri di sekitar Johor, Kuala Lumpur dan Lembah Klang membeli diesel ini dengan harga RM1.80 seliter iaitu lebih murah daripada harga pasaran," katanya.

Jalaludin ( kiri) menunjukkan minyak enjin terpakai yang diproses.
Jalaludin ( kiri) menunjukkan minyak enjin terpakai yang diproses.

Jelasnya, antara yang dirampas adalah lebih 757 tong simpanan berisi minyak, asid sulfur dan kosong selain 11 penyedut minyak, tangki lori (lima), tangki besar (empat) tangki lori kosong (12), dan lori tangki serta lori tiga (sebuah).

"Kesemua suspek tidak mempunyai rekod lampau di mana pemilik kilang dan pekerja tempatan sudah dibebaskan selepas keterangan mereka dirakamkan polis dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Tiga lagi pekerja asing pula ditahan reman 14 hari sejak kelmarin dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresem 1959/63.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 34(B)(1)(A) dan Seksyen 19(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.