Sila log masuk terlebih dahulu.

Dagangan di Bursa Malaysia hampir tidak berubah pada sesi pembukaan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

DAGANGAN di Bursa Malaysia bergerak mendatar dan hampir tidak berubah ketika dibuka untuk urus niaga pagi ini dengan para pelabur terus mengambil sikap berhati-hati di tengah-tengah prestasi semalaman Wall Street yang lebih lemah, kata penganalisis.

Pada jam 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.02 mata kepada 1,455.50 daripada penutupan urus niaga Rabu 1,451.48 tetapi kemudiannya menyusut kepada 1,452.43.

Pergerakan harga di pasaran secara meluas menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung 119 berbalas 97, manakala 177 kaunter tidak berubah, 1,889 tidak diniagakan dan 65 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 93.22 juta unit bernilai RM50.15 juta.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng, indeks-indeks utama di Wall Street bergelut untuk kembali mempamerkan peningkatan dengan sentimen masih lagi dalam keadaan berhati-hati kerana bimbangkan potensi kemelesetan.

Purata Perindustrian Dow Jones menambah 82.32 mata, S&P 500 susut 2.72 mata dan Komposit Nasdaq turun 3.65 mata, manakala hasil 10 tahun Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) menjadi lebih rendah kepada 3.09 peratus.

Di pasaran domestik pula, beliau berkata dagangan di bursa tempatan dijangka kekal berwaspada hari ini kerana kekurangan pemangkin.

"Oleh itu, kami menjangkakan indeks utama bergerak dalam julat 1,440-1,460,” kata Thong kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, harga minyak sawit mentah telah susut kepada RM5,080 setan disebabkan data eksport yang lebih lemah manakala minyak mentah Brent turut ditutup lebih rendah pada AS$116 setong berikutan berita AS mungkin mengeluarkan lebih banyak minyak daripada stok simpanannya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Hartalega dan Sime Darby Plantation masing-masing naik lapan sen kepada RM3.03 ​​dan RM4.41, Hong Leong Financial Group menambah tiga sen kepada RM18.90, MRDIY susut dua sen kepada RM2.03, Top Glove turun satu sen kepada RM1.11, Maybank susut tujuh sen kepada RM8.58 dan Telekom Malaysia lemah tiga sen kepada RM5.20.

Bagi saham aktif, Cypark susut tiga sen menjadi 35 sen, Reach Energy tidak berubah pada 5.5 sen, MN Holdings turun satu sen kepada 22 sen dan Dagang Nexchange lebih rendah sebanyak setengah sen kepada 78.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengembang 5.99 mata kepada 10,355.66, FBM Emas Syariah lebih tinggi 17.55 mata menjadi 10,556.80, FBM 70 pula menambah 5.46 mata menjadi 12,508.53 dan FBM ACE menguncup 17.49 mata kepada 4,822.60 sementara Indeks FBMT 100 naik 6.09 mata kepada 10,093.98.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 20.29 mata kepada 16,042.58 tetapi Indeks Perladangan naik 46.67 mata kepada 7,017.31 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian mengukuh 0.83 mata pada 182.11. - Bernama