Kurangkan subsidi pukal atasi ketirisan

A
A
A

No Image Caption



Salah satu tujuan subsidi adalah untuk merendahkan atau mengurangkan tekanan harga barangan yang dibayar oleh pengguna atau pembeli.

Dalam pasaran, subsidi pukal atau blanket subsidy dianggap intervensi untuk menurunkan harga demi menjaga kepentingan golongan berpendapatan rendah.

Subsidi pukal biasanya diperuntukkan untuk barangan asas. Apabila pihak kerajaan menguatkuasakan ketetapan harga maksimum (harga siling) untuk barangan terpilih maka harga pasaran lebih terkawal.

Terdapat beberapa lagi jenis atau mekanisme subsidi, antaranya subsidi dari segi barang seperti subsidi baja kepada petani atau subsidi diesel kepada nelayan.

Banyak kajian termasuk dari Universiti Cambridge yang menyatakan subsidi tunai terus kepada golongan sasar adalah yang terbaik dalam mengurangkan ketirisan. Ketirisan boleh dalam bentuk yang tidak layak pun nikmati subsidi apalagi penyelewengan dan kebocoran dari segi salahguna, manipulasi dan penyeludupan.

Sungguhpun demikian, dalam sistem pasaran, subsidi boleh membawa implikasi terhadap bekalan yang tidak menentu jika kos pengeluaran meningkat dan penyaluran subsidi tidak diurus dengan baik.

Tujuan subsidi adalah untuk meringankan kos sara hidup rakyat terutama golongan B40. Kos sara hidup yang perlu dikawal tertumpu kepada makanan, utiliti, kesihatan, pendidikan, perumahan dan pengangkutan.

Senarai ini dianggap keperluan asas. Jika kos pengeluaran yang disenaraikan itu meningkat, biasanya kerajaan akan mencari jalan apakah mekanisme yang sesuai dalam penyaluran subsidi. Apapun, syarat utama ialah jika kewangan kerajaan mengizinkan. Sebaliknya jika kewangan kerajaan terlalu terbeban, subsidi perlu disemak semula.

Subsidi pukal disalurkan oleh kerajaan dengan cara membayar sebahagian kos pengeluaran secara langsung kepada pengusaha yang mengeluarkan barang seperti penanam, penternak atau pemeroses.

Dengan subsidi pukal, pengeluar diharap dapat menstabilkan bekalan dan menurunkan harga di semua peringkat rantaian tanpa mengganggu margin keuntungan yang munasabah. Akan tetapi apabila kos pengeluaran meningkat seperti kos input dan tenaga buruh, subsidi mungkin tidak mampu menampung sebahagian kos pengeluaran.

Perbekalan akan terjejas dan kos pengeluaran terus meningkat. Apatah lagi jika input pengeluaran melibatkan import dari luar. Dalam keadaan inilah situasi pasaran berdepan dengan persimpangan.

No Image Caption



Bekalan tidak stabil manakala subsidi tidak dapat ditambah atau diteruskan kerana beban ke atas bajet negara akan meningkat. Natijahnya, kerajaan terpaksa mencari jalan keluar sama ada menambah subsidi atau subsidi dihentikan atau subsidi diurus secara bersasar.

Pengumuman kerajaan yang terbaharu bahawa mulai 1 Julai 2022 harga siling baru ayam akan diumumkan menunjukkan harga pengeluaran yang telah meningkat dan subsidi harus dikaji semula.

Dijangka harga akan naik sedikit, tetapi rakyat harus bersyukur kerana kerajaan mendengar pandangan semua pihak termasuk rakyat dan meneruskan kawalan harga sumber protin utama Keluarga Malaysia itu.

Walaupun demikian, pihak berkuasa perlu bekerja keras untuk memantau agar tidak berlaku pencatutan iaitu peniaga mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan berlebihan melalui harga yang tidak munasabah. Lebih-lebih lagi barang-barang yang dihasilkan dari ayam.

Kita tidak mahu sejarah berulang. Harga gula naik satu masa dahulu, harga minuman naik tidak masuk akal seolaholah 1kg gula digunakan untuk menghasilkan satu gelas atau cawan minuman.

Di samping itu, sindiket kartel perlu dibendung agar persaingan sihat menjadi amalan perniagaan di Malaysia yang akhirnya akan menguntungakan pengguna dari segi harga dan bekalan.

Isu global

Isu kenaikan harga barang sebenarnya sudah global dan sepanjang zaman sifatnya. Bekalan dalam negara sememangnya dapat menampung keperluan domestik, n a m u n kebergantungan bekalan kepada import dari luar menjadikan keadaan bertambah rumit.

Pertama, negara pengeksport kini mengehadkan eksport kerana faktor perubahan iklim dan konfl ik yang tercetus di beberapa negara pengeluar.

Kedua, harga import berlipat kali ganda kerana nilai pertukaran mata wang ringgit yang merosot dan permintaan yang meningkat dari negaranegara pengimport seperti negara kita. Dalam erti kata lain, ekonomi negara kini tersepit.

Memang benar, pihak kerajaan telah berusaha untuk melaksanakan Dasar Pertanian Negara dan Dasar Jaminan Makanan yang mapan. Akan tetapi, oleh kerana Malaysia adalah negara perdagangan (trading nation), perubahan di peringkat ekonomi global turut menjejaskan perlaksanaan dasar-dasar tersebut.

Kini, pertanian berasaskan makanan menjadi penting dan perlu diutamakan kerana ianya akan menggugat sekuriti dan kedaulatan makanan negara. Malaysia yang sebelum ini menumpukan kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan, kini harus kembali memberi tumpuan kepada pertanian makanan.

Subsidi perlu disemak semula terutama subsidi pukal kerana ketirisan yang besar dan membazirkan khazanah negara sedangkan pengeluaran dan bekalan perlu stabil. Kawalan harga mungkin tidak relevan dan pasaran harus dibenarkan untuk melaraskan harga berdasarkan bekalan.

Namun, dengan Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan, Akta Perlindungan Pengguna dan Akta Persaingan, kerajaan harus memastikan tiada elemen pancatutan, tiada sorokan barang keperluan dan tiada monopoli serta kartel yang menggugat harga di pasaran.

Pihak kerajaan perlu menyemak semula skim subsidi yang selama ini dilaksanakan. Bajet berbilion ringgit untuk subsidi perlu disalurkan secara strategik dan tepat terutama untuk pembangunan negara dan rakyat.

Sementara itu, peniaga perlu sama-sama mainkan peranan dan tidak mengambil kesempatan dengan meningkatkan harga sewenangwenangnya. Budaya berniaga yang beretika sangat diperlukan untuk membangunkan ekonomi yang lestari dan mapan.

Pengguna pula tidak mempunyai pilihan melainkan benar-benar mengamalkan kepenggunaan bermaklumat, bijak dan berwaspada. Jika perlu, pengguna harus membuat perubahan atau pelarasan dalam gaya hidup mereka termasuk menggunakan hak untuk memilih dan kuasa beli mereka untuk mempengaruhi harga di pasaran.