MOSTI tawar 27 penyelesaian bantu atasi sekuriti makanan

MOSTI
MOSTI
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menawarkan 27 daripada 46 penyelesaian teknologi yang sedia diguna pakai secara meluas untuk membantu negara menangani isu sekuriti makanan bagi penyelesaian jangka masa pendek.

MOSTI dalam satu kenyataan berkata, penyelesaian teknologi yang dikenal pasti terbahagi kepada beberapa kluster iaitu biji benih, biobaja dan baja penggalak, penggunaan dron dan robotik, perkhidmatan ujian dan aplikasi internet kebendaan (IoT), akuakultur serta makanan ternakan.

"Antara penyelesaian teknologi yang diketengahkan adalah penggunaan automasi sistem fertigasi, pertanian menegak, akuaponik digandingkan bersama aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang mampu beroperasi di kawasan terpencil dan mengurangkan kos operasi melalui penggunaan Panel Tenaga Suria Nano (NLEP) tenaga solar sebagai sumber tenaga utama.

"Penggunaan teknologi ini boleh diguna pakai bagi pelbagai jenis tanaman hijau berdasarkan kesesuaian kawasan dan keperluan pasaran," kata MOSTI pada Selasa.

Selain itu katanya, teknologi IoT dan blockchain akan turut digembleng bersama lain-lain penyelesaian teknologi bagi merancakkan industri agro.

"Penggunaan biobaja pintar, teknologi penyerap nutrien dan teknologi pemuliharaan tanah juga boleh meningkatkan produktiviti tanaman.

"Teknologi ini berupaya mengatasi isu kenaikan harga baja susulan bekalan bahan terhad berikutan krisis dunia.

"Produk ini amat sesuai digunakan dalam skala besar bagi mempertingkatkan kawasan tanaman yang subur dalam tempoh yang singkat," ujarnya.

MOSTI berkata, menerusi Agensi Nuklear Malaysia, kajian dan data di lapangan telah memperlihatkan keupayaan biobaja yang berpotensi menjimatkan kos baja sehingga 50 peratus dan meningkatkan hasil sehingga lapan peratus.

Katanya, ini akan mengurangkan kebergantungan kepada baja dan subsidi baja dapat dikurangkan secara berperingkat.

"MOSTI yakin bahawa teknologi diketengahkan mampu memberi impak berkesan dalam memastikan sekuriti bekalan makanan terjamin dengan kos yang berpatutan serta pengurangan kepada kebergantungan penuh kepada buruh asing," katanya.

Menurutnya, kesemua penyelesaian teknologi ini merupakan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan yang dibiayai oleh kerajaan.

"Ini membuktikan bahawa negara mempunyai kepakaran dan kemampuan yang tinggi dalam sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) dan peluang ini digunakan sebaiknya dalam menangani isu bekalan makanan," kata MOSTI.