Sila log masuk terlebih dahulu.

Seleweng dana: SPRM akan ambil keterangan Exco Kedah

Shaharom Nizam ketika bercakap kepada pemberita pada Selasa.
Shaharom Nizam ketika bercakap kepada pemberita pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil keterangan daripada Exco Kedah berhubung dakwaan penyelewengan dana bantuan pakej rangsangan ekonomi di negeri ini dalam tempoh terdekat.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, pihaknya telah melakukan siasatan atas dakwaan satu kes melibatkan penyelewengan dana.

Menurut beliau, pihaknya sedang melengkapkan siasatan mengenai dakwaan tersebut dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.

"Kita telah jalankan siasatan dan di peringkat akhir selepas kita susun fail itu, kita akan kemukakan terus kepada TPR untuk keputusan tindakan apa yang sesuai diambil.

“Belum lagi (panggil Exco beri keterangan). Kita tidak panggil (gelar) suspek, tetapi individu yang ditohmah itu, kita akan panggil,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas perkembangan siasatan kes melibatkan penyelewengan dana dikaitkan dengan seorang Exco Kedah.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Kedah Free Corruption Ride 2022 SPRM Kedah di Pejabat SPRM Kedah di sini pada Selasa.

Beliau menjelaskan tarikh Exco Kedah dipanggil untuk beri keterangan belum ditentukan, bagaimanapun ia akan dilakukan dalam tempoh terdekat.

“Kita ada banyak tindakan boleh dicadangkan kepada TPR. Jikalau positif kita akan dakwa. Sekiranya, tidak ada apa-apa, mungkin kita akan kemas kini peraturan dan mencadangkan untuk kemas kini peraturan yang ada,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan SPRM Kedah mengesahkan sedang melakukan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana bantuan pakej rangsangan ekonomi yang dikaitkan dengan seorang Exco Kedah.

Bagaimanapun, ia masih di peringkat awal siasatan dan siasatan lanjut akan dilakukan sekiranya didapati wujud unsur kesalahan bawah undang-undang berkaitan.

Setakat ini, tiada laporan atau aduan rasmi dibuat oleh mana-mana pihak berhubung kes berkenaan termasuk daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris yang mendedahkan isu terbabit di laman Facebook miliknya.

Pada 16 Jun lepas, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan kerajaan negeri menyerahkan kepada SPRM bagi menyiasat dakwaan yang dikaitkan dengan seorang Exco Kedah.