Sila log masuk terlebih dahulu.

Kemenangan buka semula peluang KDA FC bersaing

Ronald Ngah Wanja (kiri) muncul watak penting membantu KDA FC mengatasi Kaya FC 4-1 di Bali, Indonesia pada Isnin. - Foto KDA FC
Ronald Ngah Wanja (kiri) muncul watak penting membantu KDA FC mengatasi Kaya FC 4-1 di Bali, Indonesia pada Isnin. - Foto KDA FC
A
A
A

KEDAH Darul Aman (KDA) FC kembali ke landasan untuk bersaing merebut slot layak ke pusingan seterusnya pada pentas Piala AFC 2022 apabila menang besar ke atas Kaya FC 4-1 bagi aksi kedua Kumpulan G di Bali, Indonesia pada Isnin.

Pengendalinya, Aidil Sharin Sahak memuji motivasi dan semangat juang semua pemain yang tidak terjejas biarpun tewas 2-0 kepada Bali United FC pada aksi sulung sebelum ini.

"Kemenangan ini buka peluang dan memberikan semangat kepada pemain-pemain selepas tahu bahawa Bali United juga tewas besar 5-2 kepada Visakha FC pada aksi kedua.

"Walaupun agak kecewa kerana kita bolos satu gol pada malam ini namun saya perlu melihat sudut positif, perlu memandang ke hadapan kerana ada lagi satu perlawanan penting (menentang Visakha FC)," katanya dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan di Bali pada Isnin.

Mengulas kemasukan Fayadh Zulkifli pada separuh masa kedua yang meningkatkan tempo serangan Sang Kenari sehingga meledak dua gol peribadi, Aidil Sharin memberitahu, semua pemain berjaya melaksanakan strategi yang diatur sebelum bermula perlawanan.

"Kita tahu kekuatan Kaya FC. Strategi diatur dan akhirnya membuahkan hasil. Fayadh pula diletakkan di belakang penyerang utama bukannya di bahagian sayap seperti dilakukan sebelum ini dan kemasukannya membantu jentera serangan," ujarnya.

Sementara itu, penyerang KDA FC, Ronald Ngah Wanja memuji kebangkitan rakan-rakannya pada perlawanan tersebut selepas berjaya melupakan kekalahan kepada Bali United FC.

"Kami bangkit dengan motivasi walaupun tewas pada aksi pertama (kepada Bali United FC). Bangkit dengan mentaliti tinggi. Kekalahan sebelum ini adalah sebahagian daripada perlawanan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sang Kenari memperoleh gol menerusi Fayadh pada minit ke-57 dan 93; Mahmoud Al Mardi minit ke- 63 dan Ronald Ngah minit ke-83 manakala Kaya FC memperoleh gol saguhati menerusi Javier Gayoso pada minit ke-86.

KDA FC seterusnya bakal menghadapi Visakha FC dari Kemboja yang juga pendahulu Kumpulan G pada Khamis ini.