Siti Aishah tidak ditahan, hadir sendiri beri keterangan SKMM

Laporan Sinar Haria pada Isnin. Gambar kecil: Mior Faridalathrash
Laporan Sinar Haria pada Isnin. Gambar kecil: Mior Faridalathrash
A
A
A

IPOH - Polis Perak mengesahkan bekas Ketua Srikandi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Siti Aishah Shaik Ismail hadir ke balai polis di sini pada Isnin bagi memberi keterangan berhubung penyebaran satu kandungan video aplikasi TikTok.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kehadiran bekas Ahli Dewan Negara itu bagaimanapun adalah bagi siasatan kes di bawah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

Menurutnya, kenyataan wanita itu diambil oleh pihak SKMM dengan kehadiran peguam beliau.

"Suspek tidak ditangkap sebaliknya hadir sendiri ke Balai Polis Sungai Senam untuk beri keterangan.

"Dalam kes ini, polis hanya membantu merampas barang kes bersabit siasatan oleh SKMM," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Isnin.

Dalam perkongsian mesej di aplikasi WhatsApp, Siti Aishah memberitahu, polis dan SKMM telah membuat serbuan ke rumahnya atas dua sabitan kes iaitu kandungan video dan laporan polis yang dibuat sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap kandungannya di Balai Polis Dang Wangi, tempoh hari.

Beliau kemudiannya dibawa dan diiringi polis ke Balai Polis Sungai Senam untuk direkodkan kenyataan berdasarkan dua tuduhan berkenaan.

Siti Aishah sebelum ini telah memuat naik satu kandungan video TikTok berdurasi hampir tiga minit yang menjelaskan jangkaan beberapa harga barangan komoditi dan barang makanan bakal dimansuhkan subsidi oleh kerajaan bermula 1 Julai ini.

Kandungan video itu menjadi tular di media sosial dan menyebabkan beberapa NGO bertindak membuat laporan polis terhadapnya.