Ibadah korban: Tiada SOP tambahan di Kelantan

Tengku Mohamad Rizam menyampaikan Kit Promosi Wakaf kepada Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun pada Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan pada Isnin.
Tengku Mohamad Rizam menyampaikan Kit Promosi Wakaf kepada Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun pada Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) tidak meletakkan sebarang tambahan terhadap prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 untuk sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, orang ramai yang mahu melakukan ibadah korban hanya perlu mempraktikkan SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kita tidak meletakkan sebarang tambahan SOP dan orang ramai perlu mempraktikkan peraturan sedia ada.

"Walaupun kebenaran ibadah korban dilaksanakan di kawasan rumah tetapi orang ramai dinasihatkan mengekalkan pemakaian pelitup muka," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Maik, Zulkifle Ab Rahman; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Norazman Abd Ghani dan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri.

Tengku Mohamad Rizam juga memberitahu tiada masalah untuk melaksanakan ibadah korban di premis tertentu.

Sementara itu, beliau berkata, Maik tidak pernah meletak sebarang tabung di mana-mana premis di negeri ini.

Katanya, pihaknya akan mengambil tindakan jika didapati ada individu atau ejen yang menyamar sebagai ejen institusi itu.

"Kita akan serahkan kepada polis jika ada pihak tertentu yang membuat kutipan membabitkan Maik," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, Maik setakat ini belum menerima sebarang laporan rasmi berkaitan kutipan tabung yang menggunakan nama institusi itu.

"Mereka yang mahu memberi bantuan atau derma boleh melalui saluran yang disediakan di Maik atau melalui dalam talian," katanya.

Minggu lalu tular gambar seorang lelaki mengaku sebagai kakitangan Maik yang melakukan operasi merampas tabung di beberapa stesen minyak di sekitar bandar ini.

Gambar tular seorang lelaki yang didakwa melakukan operasi mengutip tabung di stesen minyak.
Gambar tular seorang lelaki yang didakwa melakukan operasi mengutip tabung di stesen minyak.