41 pengusaha pelancongan belum berlesen di Semporna

Jafry (tengah) melakukan lawatan kerja di Semporna berhubung industri pelancongan di daerah itu.
Jafry (tengah) melakukan lawatan kerja di Semporna berhubung industri pelancongan di daerah itu.
A
A
A

SEMPORNA - Sekurang-kurangnya 41 pengusaha agensi pelancongan dikenal pasti belum memiliki lesen untuk menawarkan perkhidmatan kepada pelancong di daerah ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pengusaha yang terlibat harus mengemukakan segera permohonan lesen bagi mengelak daripada sebarang masalah di masa hadapan.

"Daftarkan segera untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku dan jangan mendatangkan risiko kepada pelancong dengan menggunakan perkhidmatan pelancongan yang tidak berlesen.

"Sekiranya terjadi kemalangan terutama di laut, seperti bot karam ia bukan saja memberi kesan kepada pelancong malah pihak berkuasa juga menghadapi masalah ekoran tiada rekod maklumat pengusaha, bot serta pelancong," katanya dalam satu lawatan kerja di daerah itu, pada Isnin.

Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Mohd Yusrie Abdullah dan Pegawai Daerah Semporna, Juraimin Jadil.

Katanya lagi, hasrat kementerian untuk memastikan pelancong dilindungi dan mendapatkan khidmat pelancongan yang telus.

"Saya yakin dan percaya, kejayaan atau kegagalan sesebuah destinasi pelancongan bergantung kepada kebolehan kita dalam menyediakan persekitaran selamat dan terjamin kepada pelancong.

"Di samping itu, satu sesi libat urus kementerian bersama pengusaha pelancongan Semporna turut diadakan untuk tujuan mengetahui perkembangan pelancongan sekali gus mengenal pasti masalah yang mereka hadapi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau dalam pada itu, beliau mencadangkan agar satu usaha bersepadu dilaksanakan antara Majlis Daerah Semporna, pihak berkuasa dan pengusaha pelancongan untuk memastikan perjalanan yang selamat.

"Ini termasuk lulus dari segi spesifikasi undang-undang dan perjalanan lancar mengikut masa yang ditetapkan.

"Kita ada peraturan dan undang-undang yang perlu dipatuhi, oleh itu dengan tindakan bersepadu dan kerjasama daripada semua pihak berkepentingan, saya yakin semua masalah akan dapat diselesaikan," katanya.