Tidak sangka durian menjadi, harga murah tahun ini

Muhammad Farizkie di gerai durian miliknya di Greenwood. (Gambar kecil: Syaril dan Noraliza)
Muhammad Farizkie di gerai durian miliknya di Greenwood. (Gambar kecil: Syaril dan Noraliza)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sangkaan bisnes kurang menjadi dan tidak mendapat sambutan susulan desas-desus durian naik harga pada tahun ini meleset apabila raja buah itu terus menjadi buruan orang ramai.

Seorang peniaga durian, Syaril Nasri, 38, berkata, saban tahun dia memohon permit niaga, tetapi tahun ini tidak berbuat demikian kerana menyangka orang ramai tidak berminat membeli durian kerana terbeban isu kos sara hidup.

Bagaimanapun menurutnya, kenaikan harga barang tidak langsung menjejaskan jualan buah tersebut malah mendapat sambutan di luar jangkaan apabila tiada berdepan masalah mendapatkan stok dan dijual murah.

"Hendak mohon permit buka tapak sekarang sudah lambat, biasanya kena mohon satu atau dua bulan awal sebelum musim kerana proses kelulusan mengambil masa dan adakala tidak diluluskan.

"Sekarang saya hanya bantu adik berniaga di Gombak dan selebihnya jual durian atas lori, " katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Syaril berkata, kebanyakan durian kini dijual separuh harga berbanding tahun lepas antaranya, musang king boleh didapati dengan harga RM25 sekilogram, udang merah (RM18 ke RM20), D24 (RM12) dan durian kampung antara RM5 hingga RM8 mengikut gred.

Seorang lagi peniaga, Muhammad Farizkie Ridwan, 27, berkata, jualan durian di gerainya yang terletak di Greenwood, Gombak memberangsangkan dan tidak berdepan kesukaran mendapatkan stok, cuma harga menjadi sedikit mahal pada hari minggu.

"Biasa hari minggu pembekal akan naikkan sedikit harga kerana ramai peniaga ambil stok, bukan hanya yang berniaga dalam kedai tetapi juga yang jual atas lori.

"Dari segi persaingan tidak ada masalah kerana rezeki masing-masing. Tiada isu buah lambakan kerana kebiasaannya tiga hingga empat tan stok durian di kedai habis terjual setiap hari.

"Kami jual buah elok dan tidak jual lelong kerana menjaga kualiti. Buah gred C biasanya akan dibuat tempoyak atau dijual kepada pengusaha aiskrim," katanya.

Seorang lagi peniaga, Noor Hayati Kamaluddin, 43, berkata, durian merupakan buah bermusim menyebabkan penggemar raja buah 'pejam mata' soal harga asalkan buah dijual dalam keadaan cantik dan berkualiti.

Noor Hayati bersama anak-anak berniaga durian di kawasan Datuk Senu Sentul.
Noor Hayati bersama anak-anak berniaga durian di kawasan Datuk Senu Sentul.

"Bila durian gred tinggi murah, ramai orang ada pilihan beli yang baik. Saya pula tidak ambil untung banyak sebab berniaga di kawasan perumahan," katanya.

Sementara itu, seorang penggemar buah, Mohd Sabri Md Shariff, 31, berkata, dia bersama isteri sudah membelanjakan kira-kira RM300 untuk membeli durian dalam tempoh tiga minggu berturut-turut.

"Durian ini buah bermusim, walaupun mahal orang tetap cari, tidak kisahlah walaupun ketika ini berdepan isu kenaikan harga barang.

"Tahun ini, saya dapat beli banyak durian musang king sebab harga tengah murah, macam tahun lepas tidak mampu beli banyak sebab harga terlalu mahal," katanya.

Seorang lagi pembeli, Noraliza Ibrahim, 34, berkata, dia tidak melepaskan peluang membeli durian yang sedang dijual murah.

"Biasa D24 dijual dengan harga RM25 sekilogram, tetapi kini ditawarkan dengan harga RM15," katanya.