Dua laporan polis dibuat isu mesej palsu kaitkan Guan Eng

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

PUTRAJAYA - Dua laporan polis dibuat berhubung penyebaran mesej dan berita palsu yang tular di media sosial dikaitkan dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kewangan Lutfi Hakim dalam kenyataan hari ini berkata kedua-dua laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Khamis lepas.

Katanya mesej palsu tersebut memaparkan kenyataan Guan Eng kononnya mengarahkan Kementerian Kesihatan supaya tidak mengiktiraf ribuan doktor Islam lulusan Mesir dan menghentikan pemberian bantuan hari raya kepada penjawat awam.

"Harus ditekankan bahawa kedua-keduanya palsu dan Menteri Kewangan tidak pernah sama sekali mengeluarkan kenyataan seperti yang dipaparkan.

"Tuduhan-tuduhan ini palsu, tidak berasas dan amat keterlaluan kerana mencuba timbulkan sentimen perkauman dan mengurangkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan," katanya.

Sehubungan itu, Lutfi menasihatkan orang awam agar berhati-hati apabila menerima sebarang maklumat berkaitan Menteri Kewangan yang tidak dapat dipastikan kesahihannya dan mengelak daripada menyebarkan maklumat tersebut.

Katanya tindakan menyebarkan mesej itu adalah satu perbuatan jenayah mengikut undang-undang termasuk mengikut Seksyen 505, 500, 124H, 124I Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. -Bernama

Artikel Berkaitan: