Jangan berebut kuasa, berebut kerusi: Hajiji

Hajiji menerima cenderamata daripada Fairuz sempena Majlis Makan Malam Santai bersama Armada Sabah di Kota Kinabalu, pada Jumaat.
Hajiji menerima cenderamata daripada Fairuz sempena Majlis Makan Malam Santai bersama Armada Sabah di Kota Kinabalu, pada Jumaat.
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah berharap akan dapat terus bekerjasama memimpin kerajaan dengan Barisan Nasional (BN) Sabah menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Bersatu adalah sebuah parti yang akan mewujudkan keharmonian dalam kalangan parti komponen GRS.

"Bersatu GRS bukan parti sombong sebaliknya bekerja untuk rakyat, melayan rakyat dan rakan-rakan lain.

"Kita, parti yang akan mewujudkan keharmonian di kalangan rakyat dan parti-parti komponen dalam GRS dan Bersatu. Kita juga berharap terus bekerjasama rapat dengan satu lagi rakan kita daripada BN," katanya ketika berucap sempena Majlis Makan Malam Santai Bersama Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Sabah, pada malam Jumaat.

Hadir sama Ketua Armada Bersatu Sabah, Fairuz Renddan.

Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata, perlu ada perbincangan antara sesama rakan gabungan bagi mengelak berlaku perselisihan faham.

"Tidak perlu bergaduh. Apa yang mahu digaduhkan, kalau kita gaduh rugi. Kita mesti belajar dari apa yang berlaku sebelum ini.

"Sebab itu saya jelaskan kepada rakan-rakan daripada BN, kita kena berbincang bagus-bagus demi kepentingan negeri Sabah, itu saja. Janganlah kita berebut kuasa, berebut kerusi.

"Ini demi kebaikan negeri Sabah dalam masa panjang kita kena berbincang bagus-bagus walaupun mungkin di sana lain (Semenanjung), di Sabah lain. Jangan kita gaduh di Sabah, kalau kita gaduh kita akan rugi dan kita akan banyak buang masa untuk menguruskan politik, " katanya.

Sehubungan itu, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, walaupun GRS disertai Bersatu yang juga parti dari nasional namun situasinya berbeza dengan negeri lain.

"Kita di Sabah buat cara orang Sabah, kita adalah kita walaupun ada parti di peringkat nasional tetapi itu bukan isu. Isunya ialah lakukan yang terbaik mengikut acuan," katanya.