Sinar Harian rangkul dokumentari video terbaik MPI-Petronas

Ketua Pegawai Eksekutif Group Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin dan Ketua Pengarang Kumpulan, Rozaid Rahman bergambar bersama kru penerbitan dokumentari video Frontliners: Mati Hidup Semula yang memenangi Anugerah Emas pada malam Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2021 di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Ketua Pegawai Eksekutif Group Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin dan Ketua Pengarang Kumpulan, Rozaid Rahman bergambar bersama kru penerbitan dokumentari video Frontliners: Mati Hidup Semula yang memenangi Anugerah Emas pada malam Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2021 di Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sinar Harian merangkul pemenang emas Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) Institut Akhbar Malaysia (MPI)-Petronas 2021 bagi kategori Dokumentari Video Terbaik menerusi laporan bertajuk Frontliners Mati Hidup Semula.

Laporan Pengarang Berita Premium, Zamri Rambli; Ketua Unit Kandungan Premium Sinar Harian, Nurul Riduan Nor Ashaha; Wartawan Sinar Premium, Liza Mokhtar; jurukamera, Mohd Qawiem Mohd Amin dan Muhammad Hafiz Adnan serta suntingan oleh Mohd Nasaruddin Talkah dan Afnan Imadi Zainal Ayub itu membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta trofi dan sijil.

Nurul Riduan yang bertindak selaku pengarah penggambaran video dokumentari itu berkata, kemenangan tersebut memberikan satu kepuasan selepas tahun lalu hanya sekadar meraih pingat Perak bagi kategori sama.

"Alhamdulillah kami bersyukur dengan kemenangan ini. Kemenangan ini memberi makna tersendiri buat kami dan apa yang penting anugerah dokumentari ini bukan lagi dimonopoli oleh stesen televisyen," katanya.

Hadiah kemenangan itu disampaikan oleh tetamu kehormat iaitu Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar pada Malam Wartawan Malaysia 2022.

Pemenang diumumkan sempena Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2022 yang berlangsung di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.

Video dokumentari ‘Frontliners: ‘Mati’ Hidup Semula’ berkisarkan tentang perjuangan petugas barisan hadapan negara mendepani Covid-19 bermula dengan gelombang pertama sehingga munculnya beberapa varian ganas seperti Delta.

Sepanjang penularan itu, tidak diketahui berapa jumlah sebenar petugas frontliners Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menjadi mangsa virus pembunuh itu.

Artikel Berkaitan:

Atas dasar untuk berkongsi keperitan dilalui petugas KKM, Sinar Harian menyingkap kembali kali pertama ‘perang’ terhadap Covid-19 dilancarkan.

Laporan itu juga mendedahkan, seramai 6,725 frontliners KKM pelbagai jawatan dijangkiti Covid-19 (setakat 15 Mei 2021) dan lebih tragis lagi lima kematian direkodkan.

MWM adalah program tahunan anjuran MPI sejak 16 September 1981 bagi menyampaikan hadiah kepada pemenang HKW yang mula diperkenalkan pada 1980 iaitu 42 tahun yang lalu.

MPI menganjurkan program tahunan itu secara berterusan selama lebih empat dekad.

Bagi tahun ini, MWM menerima sumbangan bernilai RM394,500 secara keseluruhannya, selain RM300,000 tajaan dari Petronas selaku penaja hadiah wang tunai sejak 1994.

Sumbangan diterima dalam bentuk pembelian meja bernilai RM10,000 dan RM7,500 daripada 27 organisasi serta sumbangan kewangan termasuk kerajaan negeri.

Sebanyak 43 pertubuhan berita telah mengemukakan penyertaan masing-masing mewakili Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Secara keseluruhannya, pihak urus setia telah menerima 350 penyertaan bagi HKM 2021.