MOSTI, TEGAS meterai MoU tingkat penglibatan syarikat pemula Sarawak

Dr Adham Baba
Dr Adham Baba
A
A
A
KUCHING - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) pada Jumaat memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) bagi memperluaskan lagi inisiatif MYStartup, seterusnya meningkatkan penglibatan syarikat pemula di Sarawak.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, TEGAS akan menjadi wakil bagi inisiatif berkenaan dengan Cradle sebagai penyokong program pembangunan ekosistem pemula yang dianjurkan di negeri ini.

"Kita akan pastikan keupayaan (syarikat) pemula niaga ini dapat dimajukan di peringkat antarabangsa. Saya akan pastikan, dalam pencarian bakat serta modal insan, peluang turut diberikan kepada anak-anak Sarawak untuk meningkatkan kemahiran teknologi dan masa depan di bawah Cradle,” katanya selepas merasmikan Jerayawara MYStartup Wilayah Timur di Kampung Digital TEGAS pada Jumaat.

Menurutnya, program menambah kemahiran teknologi dan masa depan adalah bertujuan membantu rakyat Malaysia meningkatkan set kemahiran sedia ada berdasarkan keperluan industri dalam bidang sains dan teknologi seperti kecerdasan buatan serta blok rantai.

Sarawak merupakan lokasi keempat selepas Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang bagi program MYStartup yang dilancarkan Februari lepas untuk memperkasa ekosistem komuniti pemula di Malaysia.

Majlis itu turut menyaksikan beberapa MoU ditandatangani antara TEGAS bersama-sama syarikat dan universiti tempatan seperti Aerodyne Group, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Taylor’s University.

Turut hadir Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke. -Bernama MYStartup, MOSTI, TEGAS, Adham Baba