Curi kereta mewah tak sampai tiga minit

Zainal menunjukkan kereta yang dipercayai dicuri sindiket terbabit.
Zainal menunjukkan kereta yang dipercayai dicuri sindiket terbabit.
A
A
A

GOMBAK - Polis menumpaskan sindiket curi kereta mewah 'Geng Ah Beng' dengan tertangkapnya 10 suspek dalam Op Lejang Mewah di Perak, Pahang, Kedah dan Johor pada 17 hingga 22 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, sindiket tersebut dipercayai aktif sejak April lalu dengan menyasarkan kereta mewah yang diparkir di kawasan perumahan.

Menurutnya, menggunakan beberapa jenis peranti dan alat khas, ahli sindiket mampu mengumpil masuk sebuah kenderaan dalam tempoh 30 saat serta melumpuhkan sistem keselamatan untuk menghidupkan kereta berkenaan dalam dua minit.

"Modus operandi sindiket adalah mencuri kereta mewah di taman perumahan atau apartmen pada waktu malam dan awal pagi kemudian di jual di negara jiran melalui orang tengah. Kereta-kereta terbabit dijual dengan nilai RM7,000 hingaa RM25,000.

Antara peralatan yang digunakan sindiket untuk mengumpil dan menghidupkan kereta terbabit.
Antara peralatan yang digunakan sindiket untuk mengumpil dan menghidupkan kereta terbabit.

"Dengan tertumpasnya sindiket ini, kita berjaya menyelesaikan 23 kes curi kenderaan dengan pecahan kes sebanyak tujuh di Selangor, Gombak (empat), Johor (lapan), Kuala Lumpur (empat), Perak (tiga) dan satu kes di Pahang," katanya pada sidang media pelupusan barang kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, peranti khas yang mampu melumpuhkan sistem keselamatan elektronik dalam kereta-kereta mewah berkenaan dipercayai diperoleh dari negara luar.

"Selepas mencuri, mereka akan menggunakan pelekat cukai jalan dan nombor pendaftaran palsu untuk mengelirukan pihak berkuasa sekiranya diperiksa.

Pelekat cukai jalan palsu yang digunakan suspek untuk mengelirukan pihak berkuasa jika ditahan.
Pelekat cukai jalan palsu yang digunakan suspek untuk mengelirukan pihak berkuasa jika ditahan.

"Mereka turut menggunakan satu alat untuk menghalang peranti sistem kedudukan global (GPS) di dalam kenderaan terbabit daripada dikesan," jelasnya.

Zainal berkata, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 35 hingga 62 tahun terdiri daripada tujuh lelaki dan 3 wanita direman di IPD Gombak untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan pihak polis sedang berusaha mengesan saki baki ahli sindiket yang masih bebas.