TVET buka peluang kerjaya, martabatkan bidang kemahiran

A
A
A

Mahdzir (kanan) melawat pameran agensi yang mengambil bahagian dalam Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KPLB 2022 di Dataran Amanjaya Mall Sungai Petani Kedah.
Mahdzir (kanan) melawat pameran agensi yang mengambil bahagian dalam Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KPLB 2022 di Dataran Amanjaya Mall Sungai Petani Kedah.

SUNGAI PETANI - Bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) membuka peluang kerjaya sekali gus meraih pendapatan setimpal dalam bidang kemahiran.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, semua pihak khususnya pemain industri perlu melihat bahawa TVET harus dimartabatkan ke peringkat nasional dan diberi tawaran setimpal dengan gaji serta kemahiran yang dikuasai.

Menurutnya, TVET perlu dijadikan sebagai salah satu bidang profesional bukan menjadi pilihan terakhir dalam menceburi bidang kerjaya.

"Pihak industri perlu melihat imej TVET kini adalah sebahagian bidang profesional di mana pekerjanya perlu ditawar gaji setimpal kelayakan dan kemahiran mereka.

Pameran dan hasil tangan pelatih TVET sempena ekspo yang berlangsung selama tiga hari.
Pameran dan hasil tangan pelatih TVET sempena ekspo yang berlangsung selama tiga hari.

"Jika perkara itu dapat dicapai, maka pendidikan TVET bakal menjadi pilihan utama golongan belia melanjutkan pelajaran, sekali gus menangkis tanggapan negatif mengenai bidang itu," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KPLB 2022 di Dataran Amanjaya Mall di sini, pada Khamis.

Menurut Mahdzir, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) cadangan menghantar pekerja mahir Malaysia ke Jepun seperti diumumkan kerajaan baru-baru ini, bakal memberi kelebihan kepada graduan institusi TVET@KPLB.

Aktiviti Sepanjang Hari Eskpo TVET@KPLB 2022
Aktiviti Sepanjang Hari Eskpo TVET@KPLB 2022

“Kita menjangkakan lepasan pelajar TVET@KPLB bakal mengisi ruang dan peluang sebagai pekerja mahir dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan universiti di Jepun sejak 1993 lagi melalui Program Pendidikan Tinggi Malaysia-Jepun (MJHEP) yang kini dikenali sebagai Program Universiti Jepun (JUP),” katanya.

Jelasnya, TVET dianggap sebagai salah satu kekuatan sistem pendidikan di negara maju seperti Jerman, Jepun dan Perancis, malah negara serantau seperti Korea Selatan, China dan Singapura turut berusaha mengukuhkan bidang berkenaan.

Mahdzir (tengah) ketika merasmikan Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KPLB 2022 di Dataran Amanjaya Mall di sini, pada Khamis.
Mahdzir (tengah) ketika merasmikan Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KPLB 2022 di Dataran Amanjaya Mall di sini, pada Khamis.

Ekspo TVET@KPLB 2022 yang berlangsung tiga hari di Dataran Amanjaya Mall di sini bermula 23 Jun dan berakhir esok, melibatkan penyertaan dan kerjasama daripada 280 institusi pendidikan di bawah tujuh agensi utama kementerian.

Kira-kira 100,000 pengunjung dijangka memeriahkan ekspo yang menyediakan pelbagai pengisian sepanjang program.

Tarik minat

Mazli menunjukkan pameran yang disertai sempena Ekspo TVET@KPLB 2022 di Dataran Amanjaya Mall, Sungai Petani Kedah.
Mazli menunjukkan pameran yang disertai sempena Ekspo TVET@KPLB 2022 di Dataran Amanjaya Mall, Sungai Petani Kedah.

Salah seorang peserta, Tc Mazli Lizuardi Shahrizal Ab Rahman berkata, Ekspo TVET@KPLB tahun ini memberi peluang kepada belia dan kumpulan sasar termasuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendalami bidang kemahiran yang ditawarkan.

Beliau yang juga Ketua Projek Giat Mara Custom Challenge berkata, selain menarik minat pengunjung menyertai bidang pendidikan dan TVET, ekspo juga membolehkan agensi membuat pengambilan pelatih yang akan memulakan pengajian Julai depan.

 Mazli
Mazli

"Ekspo ini bertujuan mempromosi kesedaran, menarik minat dan seterusnya meningkatkan pengambilan atau kemasukan pelajar baharu," katanya.

Jelasnya, penawaran kursus atau program TVET perlu dipergiatkan bagi lepasan sekolah serta belia luar bandar membina kerjaya masa hadapan.

Reaksi Pengunjung

Farah Ahmad Jaafar
Farah Ahmad Jaafar

“Ekspo TVET@KPLB ini membantu saya membuat persediaan untuk sambung pengajian. Kami turut sertai seminar kerjaya yang disediakan.” - Farah Ahmad Jaafar, 27 (bekas pelajar IKM Sungai Petani)

Nurul Arni Masyitah
Nurul Arni Masyitah

“Walaupun jauh, saya datang untuk dapatkan maklumat lanjut berkaitan peluang pengajian dan kerjaya. Banyak bidang kemahiran yang boleh diceburi selepas ini.” - Nurul Arni Masyitah Zulkarnain, 24 (bekas pelajar IKM Sungai Petani)

“Banyak pameran diadakan di sini dan saya berpeluang mengetahui pelbagai bidang kemahiran yang ditawarkan.” - Syarifah Nur Darwisya Syed Mohd, 16

Haziqah Nasuha
Haziqah Nasuha

“Saya datang untuk dapatkan maklumat sambung belajar menerusi agensi berkaitan. Terdapat juga temu duga untuk bakal pelajar menyertai kursus kemahiran yang ditawarkan.” - Haziqah Nasuha Zaidi, 16

“Tak sangka begitu banyak peluang sambung belajar dalam bidang kemahiran TVET ditawarkan. Saya dapat lihat kejayaan dalam bidang keusahawanan.” - Nurul Anis Syafiah Mohd Faris, 16

Pengisian program

- Pameran jualan

- Pameran agensi

- Pengambilan dan temu duga pekerjaan

- Technopreneur dan TVET servis

- Demonstrasi kemahiran

- Pertandingan kemahiran

- Seminar keusahawanan

- Cabutan bertuah

Penglibatan

280 Institusi Pendidikan TVET@KPLB dan 7 agensi utama:

- Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas)

- Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa)

- Majlis Amanah Rakyat (Mara).

- Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda)

- Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda)

- Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah)

- Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA)