X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

UKM jelaskan kaji usia kenderaan tidak selamat dilupuskan

Data menunjukkan lebih tujuh juta kenderaan buruk tersadai di merata tempat di Malaysia. (Gambar kecil: Rozmi Ismail)
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pasukan penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalankan kajian berkenaan polisi lupus kenderaan (ELV) bagi mengenal pasti usia dan ciri-ciri kenderaan yang tidak selamat dan sesuai untuk dilupuskan.

Pakar Psikologi Trafik dan Keselamatan Jalan Raya UKM, Profesor Dr Rozmi Ismail berkata, ia bertujuan mengatasi isu kenderaan buruk atau kereta tersadai yang mencacatkan pemandangan dan mencemarkan alam sekitar.

Menurutnya, data menunjukkan lebih tujuh juta kenderaan buruk tersadai di merata tempat di Malaysia.

“Bayangkan apa akan berlaku dalam 20 tahun lagi jika pemilik tidak ada kesedaran untuk melupuskan kenderaan masing-masing.

“Kita juga akan mengadakan advokasi kepada orang ramai supaya menamatkan riwayat kereta mereka apabila sudah sampai masa dengan membatalkan pendaftaran kereta (matikan geran) dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk dilupuskan.

“Justeru, kesedaran orang ramai untuk melupuskan kenderaan sangat penting,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Bagaimanapun, Rozmi berkata, banyak perkara perlu diambil kira sebelum merealisasikan polisi seperti itu di Malaysia termasuk kesannya terhadap golongan berpendapatan rendah.

Dalam pada itu, beliau turut mengambil contoh negara maju seperti Jepun, Singapura dan Eropah yang berjaya mengurangkan lambakan kenderaan menerusi pelaksanaan polisi melupuskan kenderaan melepasi had usia lebih 10 tahun.

“Di Singapura misalnya, selepas 10 tahun pemilik diberi pilihan untuk menamatkan riwayat kenderaan atau membayar sejumlah wang untuk menyambung pemilikan dan penggunaannya di jalan raya.

“Di Jepun pula, setiap tiga tahun, pemilik kenderaan mesti melakukan pemeriksaan keselamatan kenderaan masing-masing.

“Manakala kenderaan berusia lebih 10 tahun mesti lulus pemeriksaan keselamatan yang ketat pada setiap tahun sebelum dibenarkan berada di jalan raya.

“Kebanyakan pemilik kereta di negara maju ini akan menamatkan riwayat kereta mereka selepas 10 tahun dan membeli kenderaan baharu,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan perlu meningkatkan kualiti pengangkutan awam bagi menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan seperti bas, teksi dan komuter.

Katanya, ia merupakan salah satu kaedah bagi mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya melampau.

“Selain itu, saya mencadangkan agar bayaran atau permit tertentu dikenakan ke atas pemilik untuk memasuki bandar pada waktu puncak bagi mengekang masalah ini,” jelas Rozmi.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!