Pakar PBB gesa terus kenakan tekanan ke atas Junta Myanmar

PBB
PBB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Masyarakat antarabangsa mesti terus mengenakan tekanan ke atas Junta Myanmar ekoran krisis berterusan di negara itu yang sudah mengorbankan lebih 2,000 orang awam, kata Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai hak asasi manusia di Myanmar, Thomas Andrews.

Beliau berkata, semakin lama dibiarkan semakin ramai rakyat Myanmar akan menderita disebabkan kegagalan masyarakat antarabangsa untuk segera bertindak.

"Kenakan apa saja tekanan yang boleh, bekerjasama dengan negara di seluruh dunia. Kita berusaha mengenakan tekanan ekonomi, tekanan politik, tekanan diplomatik ke atas junta," katanya pada sidang akhbar di sini, Khamis.

Andrews turut mendesak semua anggota PBB supaya berhubung dengan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar untuk lebih memahami perspektif rakyat Myanmar, aspirasi dan cara untuk membantu mereka.

Mengenai bantuan kemanusiaan, bekas anggota Kongres Amerika Syarikat itu turut menggalakkan masyarakat antarabangsa untuk berhubung rapat dengan NUG kerana beliau curiga terhadap Pasukan Petugas Myanmar diterajui junta yang sebelum ini dibentuk bagi menyelaras dan mengagihkan bantuan ke negara itu.

Beliau berkata, perkara yang penting di sini adalah menghalang bantuan kemanusiaan digunakan sebagai 'senjata perang' oleh junta.

"Selagi anda membiarkan tentera junta berada pada kedudukan yang membolehkan mereka menentukan dan menetapkan kaedah bagaimana bantuan kemanusiaan ini mahu diagihkan, maka kita jangan silap, mereka akan menggunakannya untuk memastikan objektif politik dan ketenteraan mereka tercapai," katanya.

Pasukan Petugas Myanmar yang turut melibatkan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA), ditubuhkan susulan Mesyuarat Perundingan Bantuan Kemanusiaan ASEAN ke Myanmar pada 6 Mei lepas..

Mengenai pelarian Myanmar di Malaysia, Andrews turut memuji negara ini kerana sedia menerima 104,000 etnik Rohingya yang melarikan diri dari negara mereka namun menyuarakan kebimbangan bahawa keadaan mereka amat rentan.

Sambil merujuk kepada temubualnya ketika lawatan di sini, beliau berkata, tanpa dokumen pengenalan diri, mereka takut untuk bertemu pihak berkuasa Malaysia bagi mendapatkan bantuan andai mereka menjadi mangsa jenayah, keganasan atau dieksploitasi.

"Ini termasuk pelarian wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan mereka berasa takut untuk buat laporan," katanya sambil menambah, ada juga yang menyatakan rasa takut tampil membuat laporan kerana bimbang akan dihantar ke pusat tahanan imigran.

Andrews berada di sini dari 17 hingga 23 Jun bagi mengumpulkan maklumat tentang situasi hak asasi manusia di Myanmar dan untuk lebih memahami pendekatan Malaysia serta ASEAN terhadap krisis itu.

Malaysia adalah negara ASEAN pertama yang dikunjunginya. - Bernama

Artikel Disyorkan