Hospital Sultanah Aminah 2 bakal dibina di Kempas pada 2024

Tian Soon
Tian Soon
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2) dijangka mula dibina di atas tanah seluas 207.5 hektar di Kempas, Johor Bahru pada 2024.

Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, kerajaan negeri berharap pembinaan hospital baharu itu akan diluluskan kerajaan Persekutuan menerusi pembentangan Belanjawan 2023.

"HSA 2 merupakan projek mega yang diberi keutamaan negeri dan turut di sokong Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana hospital baharu ini dapat mengatasi isu kesesakan dua hospital sedia ada iaitu HSA dan Hospital Sultan Ismail (HSI).

"KKM sudah mencadangkan pada Unit Perancang Ekonomi (EPU) supaya memperuntukkan RM500 juta bagi pembinaan HSA 2. Lot tanah sudah dikenal pasti di Kempas malah KKM juga sudah membayar premium tanah seluas 207.5 hektar bagi pembinaan HSA 2," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi penggulungan Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15, di Kota Iskandar pada Khamis.

Dalam pada itu, Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng berkata, kerajaan negeri juga kini sedang menyelesaikan masalah setinggan di atas tanah bagi pembinaam projek HSA 2.

"Pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah diarahkan membantu menyelesaikan segera isu setinggan di atas tanah untuk membangunkan projek HSA 2 itu.

"Sekiranya projek HSA 2 ini diluluskan kerajaan Persekutuan, kerajaan Johor akan segera menyelesaikan isu tanah dan tender pada tahun depan sebelum memulakan pembinaan yang dijangka pada 2024," katanya.

Tian Soon berkata, hospital sedia ada iaitu HSA akan dikekalkan walaupun HSA 2 bakal dibina.

"Bagi HSA, ketika ini projek naik taraf sedang giat dilaksanakan termasuk menaik taraf sistem elektrik selain pembinaan bangunan baharu," jelasnya.