Agong selesai jalani prosedur intervensi sendi buku lali, lutut

Al-Sultan Abdullah
Al-Sultan Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selesai menjalani prosedur intervensi sendi buku lali dan lutut dan kini berada dalam keadaan stabil serta tidak membimbangkan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, prosedur berkenaan dijalankan Isnin lepas.

"Ekoran prosedur intervensi tersebut, Seri Paduka Baginda telah selanjutnya dinasihatkan untuk menjalani pemantauan dan pengawasan rapi pakar perubatan," katanya.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda dijadual berangkat pulang bersemayam di Istana Negara hujung minggu ini setelah selesai menjalani rawatan pemantauan dan pengawasan rapi tersebut.

Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa syukur dan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat yang telah mendoakan kesejahteraan Seri Paduka Baginda.

Seri Paduka Baginda dilapor menjalani pemeriksaan serta pemantauan pakar perubatan di sebuah hospital kerana gering di bahagian kaki sejak Isnin lepas. - Bernama