Warga emas tak mengaku terlibat aktiviti wang haram hampir RM1.7 juta

Suranderan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Khamis atas 12 pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram hampir RM1.7 juta. - Foto Bernama
Suranderan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Khamis atas 12 pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram hampir RM1.7 juta. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas 12 pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram hampir RM1.7 juta, bermula empat tahun lalu.

Pesara jurutera, K Suranderan, 60, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Helina Sulaiman.

Mengikut semua pertuduhan, dia didakwa melupuskan wang RM1,685,543.27 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram ke beberapa akaun bank milik empat syarikat, tiga individu serta akaun kad kredit tertuduh termasuk daripada akaunnya sendiri.

Nilai terendah adalah sebanyak RM11,398 manakala tertinggi ialah RM516,480.

Kesalahan didakwa dilakukan di OCBC Bank (Malaysia) Berhad cawangan Klang antara 14 November 2019 hingga 29 Mac 21.

Ia merupakan suatu kesalahan di bawah perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Zalizan Lazarous mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.

"Pihak kami mohon agar mahkamah mengambil kira kerugian yang dihadapi sebagai mana dalam pertuduhan," katanya.

Bagaimanapun, peguam, K Renuka memohon agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar yang munasabah dengan mengambil kira tahap kesihatan yang dihadapinya.

"Dia mempunyai penyakit serangan panik dan masih menerima rawatan.

"Selain kes di mahkamah ini, anak guam saya turut dituduh atas kesalahan lain di Mahkamah Majistret Klang dan sentiasa mematuhi kehadiran pada tarikh sebutan di mahkamah tersebut," katanya.

Selain Renuka, tertuduh turut diwakili peguam, V Ayasamy.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Helina membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 19 Ogos depan.