Amanah desak kerajaan tangguh kenaikan tarif elektrik

Datuk Seri Salahuddin Ayub
Datuk Seri Salahuddin Ayub
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) mendesak kerajaan supaya menangguhkan sebarang bentuk kenaikan tarif elektrik sehingga krisis kekurangan bekalan yang menyebabkan kenaikan mendadak harga barangan keperluan pulih kembali.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, gesaan itu dibuat bagi melindungi rakyat yang berdepan dengan beban kewangan yang tinggi ketika ini.

Beliau berkata, tarif elektrik dijangka naik mulai 1 Julai susulan Tenaga Nasional Berhad (TNB), seperti mana syarikat tenaga yang lain di seluruh dunia sedang dihimpit oleh kenaikan kos pengeluaran akibat lonjakan harga arang batu melebihi 117 peratus sejak hujung tahun lalu.

"Namun, kenaikan tarif elektrik pada saat pengguna sudah teruk diasak kenaikan harga barang keperluan lain pastinya sangat tidak wajar.

"Malah, sebarang peningkatan dalam kos tenaga elektrik pasti akan menyumbang kepada kenaikan kos operasi dan pengeluaran yang akhirnya akan turut ditanggung pengguna," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, TNB sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) gergasi dengan keuntungan terkumpul lebih RM52 bilion pastinya mampu untuk menyerap impak kenaikan kos bahan api dan kos operasi mereka.

Sebagai bukti, Salahuddin berkata, walaupun kos bahan api meningkat sebanyak 26 peratus sepanjang tahun 2021, keuntungan operasi TNB telah meningkat sebanyak 10 peratus atau RM742 juta untuk tahun tersebut.

Pada Selasa, pakar-pakar ekonomi berpandangan kenaikan tarif elektrik tidak dapat dielakkan kerana kos penjanaan elektrik telah meningkat dengan mendadak dan pantas tetapi keperluan golongan tertentu harus dipertimbangkan.

Kenaikan tarif tidak dapat dielakkan disebabkan oleh permintaan tenaga melonjak, gangguan bekalan bahan api serta kekurangan minyak, gas dan arang batu yang semakin meningkat di peringkat global telah menyebabkan harga tenaga global melambung tinggi.