RM1,000 untuk pelajar peroleh semua A SPM 2021

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang akan menyumbang insentif tunai RM1,000 kepada pelajar di negeri ini yang peroleh A dalam semua mata pelajaran pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang diumumkan baru-baru ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, insentif yang dipersetujui melalui mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada Rabu itu melibatkan peruntukan kewangan RM300,000.

Menurutnya, sumbangan ini merupakan penghargaan kerajaan Pahang atas pencapaian cemerlang pelajar dalam peperiksaan itu.

"Kejayaan yang dicapai itu hasil usaha dan penat lelah mereka biarpun terpaksa belajar dalam suasana penuh cabaran termasuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ekoran pandemik Covid-19," katanya melalui satu kenyataan pada Khamis.

Wan Rosdy berkata, seramai 300 daripada 17,008 calon SPM 2021 di negeri ini memperoleh keputusan A dalam semua mata pelajaran.

"Syabas dan tahniah kepada semua pelajar cemerlang ini dan ibu bapa mereka.

"Terima kasih juga kepada tenaga pengajar yang tidak jemu mencurahkan ilmu demi kejayaan pelajar-pelajar ini," ujarnya.