Perbicaraan 1MDB: Shafee, Ahmad Husni bertikam lidah

Najib (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, bagi sambungan perbicaraan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya. - Foto Bernama
Najib (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, bagi sambungan perbicaraan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Seri Najib Tun Razak bermula tegang pagi Rabu dengan peguam utama bekas perdana menteri dan Menteri Kewangan II ketika itu, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah terlibat dalam perbalahan mengenai cara beliau mengendalikan dokumen berkaitan 1MDB.

Pertikaman lidah bermula apabila Ahmad Husni, saksi pendakwaan ke-20 berulang kali menjawab kesemua dokumen berkaitan 1MDB dikendalikan oleh Najib dan beliau hanya mematuhi arahan, menggunakan frasa 'Saya Yang Menurut Perintah'.

Peguam veteran, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang jelas jengkel dengan jawapan saksi, meminta saksi menjelaskan apakah maksudnya.

Ahmad Husni: Itulah yang telah saya jelaskan kepada anda... anda dengar dengan teliti. Semua surat 1MDB dihantar kepada menteri. Saya hanya perlu tandatangan... saya yang menurut perintah...apa lagi yang boleh saya lakukan. Kedua-dua projek ini iaitu 1MDB dan SRC International Sdn Bhd tidak mengikut prosedur operasi standard bagi syarikat-syarikat di bawah Kementerian Kewangan. Semuanya datang dari atas... anda tidak bekerja di sana, anda tidak tahu apa-apa.

Muhammad Shafee: Itulah sebabnya saya bertanya kepada anda... Anda lebih mengetahui.

Ahmad Husni: Jadi, anda mesti lebih faham apa yang saya perkatakan.

Muhammad Shafee: Saya faham apa yang anda katakan. Jangan bergaduh dengan saya, saya yang mengajukan soalan.

Ahmad Husni: Saya tidak bertengkar dengan anda.

Muhammad Shafee: Kamu bergaduh! Jawab sahaja soalan, jangan angkuh.

Ahmad Husni: Saya tidak angkuh!

Muhammad Shafee: Kamu angkuh!

Pada peringkat ini, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mencelah dan meminta saksi untuk menjawab soalan yang diajukan oleh Muhammad Shafee.

Saksi membalas: "Yang Arif, beliau cuba menyalahkan orang lain".

Hakim Sequerah: Beliau mempunyai tugas untuk dilaksanakan.

Ahmad Husni: Walaupun disebabkan tugas, beliau seharusnya jujur.

Untuk ini, Hakim Sequerah berkata, pihak pendakwaan pasti akan memberi peluang kepada saksi untuk menjelaskan kemudian dan beliau tidak perlu risau tentang perkara itu.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan bersambung. - Bernama