Karnival Pendidikan MyUni jelajah seluruh negara

Pengunjung tidak melepaskan peluang mengunjungi Karnival Pendidikan MyUni 2022 yang diadakan di Perak.
Pengunjung tidak melepaskan peluang mengunjungi Karnival Pendidikan MyUni 2022 yang diadakan di Perak.
A
A
A


SHAH ALAM - Karnival Pendidikan MyUni 2022 ketika ini telah menjelajah ke hampir seluruh Malaysia selari dengan usaha untuk membantu lebih ramai pelajar lepasan sekolah mendapat maklumat mengenai bidang bersesuaian dan peluang pelajaran yang ditawarkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di seluruh negara.

Iklanika Sdn Bhd (Iklanika) dalam satu kenyataan berkata, karnival itu juga bertujuan membantu lebih banyak IPTS bumiputera khususnya yang bersaiz sederhana dan kecil menyertai karnival pendidikan sekali gus mempromosikan program-program pengajian yang ditawarkan sama ada di peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan kedoktoran.

Justeru, dengan adanya program seumpama ini, ia dapat membantu lebih ramai lepasan sekolah khususnya dalam keluarga B40 yang tidak ditawarkan tempat di institusi pengajian tinggi awam mendapat peluang pendidikan yang berkualiti.

“Melalui penganjuran karnival ini, MyUni komited untuk terus memainkan peranan yang aktif dalam arus perdana pendidikan tinggi negara dengan menyediakan akses ke pendidikan tinggi kepada kelompok B40 khususnya yang tidak mendapat tempat di institusi pendidikan tinggi awam.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan di Karnival Pendidikan MyUni 2022 yang diadakan di Perak.
Pelbagai aktiviti menarik disediakan di Karnival Pendidikan MyUni 2022 yang diadakan di Perak.



“Pihak MyUni amat komited dalam menyediakan lokasi acara yang selesa serta kondusif kepada pempamer dan juga pengunjung selain memastikan keselamatan di setiap lokasi acara mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Pihak MyUni juga bersedia menjalinkan kerjasama yang bersesuaian dengan mana-mana persatuan bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendidikan tinggi dalam kalangan masyarakat dan membantu mempromosi peluang pendidikan yang ditawarkan yang terdiri daripada universiti, kolej universiti dan kolej kepada masyarakat,” katanya.

Menurut kenyataan itu, antara negeri yang telah selesai menganjurkan karnival itu adalah Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Sabah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Perak dan Sarawak.

Perak merupakan negeri yang baharu selesai mengadakan karnival berkenaan dengan menyaksikan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud menyempurnakan majlis perasmian penutup acara itu.

Iklanika yang berpengalaman lebih sedekad dalam penganjuran karnival pendidikan juga bekerjasama dengan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) secara eksklusif dengan menjadikan pasar raya besar itu sebagai lokasi penganjuran pada masa akan datang.