Penjaja mainan cederakan remaja didenda RM900

Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Sungai Petani selepas selesai pendakwaan. Gambar kanan: Tular kejadian pergaduhan tersebut di laman sosial.
Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Sungai Petani selepas selesai pendakwaan. Gambar kanan: Tular kejadian pergaduhan tersebut di laman sosial.
A
A
A

SUNGAI PETANI- Seorang penjaja yang mencederakan remaja menggunakan kunci kereta di Pantai Merdeka, didenda RM900 di Mahkamah Majistret Sungai Petani pada Rabu.

Tertuduh, Siti Zulaikha Zolkifli, 23, turut diarahkan menjalani hukuman penjara selama dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh yang memakai baju dan tudung hitam itu mengaku salah menyebabkan kecederaan dengan sengaja kepada Nurul Najihah Azizan, 19, pada jam 6.22 petang di padang rekreasi Pantai Merdeka, Kota Kuala Muda, 19 Jun lalu.

Disebabkan perbuatan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Hukuman penjara boleh sampai setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya boleh dikenakan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Preeyaa di hadapan Majistret Nadhirah Abdul Rahim.

Dalam kejadian Ahad lalu, berlaku pergaduhan antara tertuduh dan mangsa ketika sama-sama sedang menjual alat mainan di pusat peranginan berkenaan.

Akibat kejadian, mangsa mengalami luka di kening kanan dikatakan terkena kunci kereta selain jatuh ditolak.

Video mengenai kejadian turut tular di media sosial sehingga mendapat lebih 25,000 tontonan serta dikongsi 2,600 pengguna.