Johor cadang bina LRT atasi kesesakan

Mohamad Fazli
Mohamad Fazli
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Johor berhasrat membangunkan sistem pengangkutan, Transit Aliran Ringan (LRT) di bandar raya Johor Bahru sebagai langkah menambah baik kemudahan awam dan mengatasi kesesakan lalu lintas pada masa hadapan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, cadangan dan kos pembangunan projek berkenaan masih di peringkat kajian.

"Kerajaan negeri menerima banyak pandangan dan cadangan untuk mewujudkan sistem LRT ini. Ia memang sesuai di kawasan pusat bandar apatah lagi bagi melancarkan pergerakan penumpang selepas projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura yang dijangka beroperasi pada akhir 2027 nanti.

"Kita menantikan menanti hasil kajian dahulu untuk melihat kawasan mana yang sesuai untuk dibina LRT termasuk stesennya. Kawasan Pasir Gudang dan Iskandar Puteri serta Kulai kesemuanya turut berada dalam wilayah Johor Bahru," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Sidang Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Kota Iskandar di sini pada Rabu.

Mohamad Fazli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pasir berkata, kerajaan negeri akan mewujudkan Jawatankuasa Pengintegrasian Pengangkutan Awam.

Katanya, jawatankuasa terbabit akan merangka sistem pengangkutan bersepadu bagi memastikan aliran pergerakan penumpang yang menggunakan RTS.

"Antara sistem pengangkutan yang akan diintegrasi dengan RTS adalah sistem bas termasuk perkhidmatan Bas Muafakat Johor (percuma) dan bas komersial, sistem Iskandar Rapid Transit (IMBRT), Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (ETS) dan cadangan pembangunan LRT Johor Bahru.

"Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) juga sedang merancang membangunkan cadangan tempat letak kenderaan berpusat di Plaza Seni dan Danga City Mall," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Fazli berkata, pembinaan infrastruktur RTS sudah mencapai 17 peratus sehingga 30 Mei lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026.

Tambah beliau, RTS Link adalah merupakan perkhidmatan LRT yang mempunyai jajaran sepanjang empat kilometer antara Bukit Chagar di Johor Bahru dan Stesen Woodlands North di Singapura.

"Projek RTS Link yang mempunyai kapasiti sehingga 10,000 penumpang sejam sehala juga dapat menggalakkan rakyat beralih kepada pengangkutan awam seterusnya membantu mengurangkan kesesakan lalulintas di Tambak Johor yang juga lintasan sempadan paling sibuk di dunia.

"Ia dijangka memberi manfaat yang besar kepada ekonomi Johor khususnya dan negara amnya terutama dari segi peningkatan nilai hartanah, pemangkin kepada aktiviti ekonomi seperti kegiatan pelancongan, pelaburan dan peruncitan.

"Projek ini juga memberi keselesaan kepada rakyat kedua-dua negara yang perlu berulang alik Singapura dan Johor," katanya.