Dua beranak tembak mati kucing masuk rumah ditahan polis

Kucing bernama Molly disyaki mati akibat ditembak menggunakan senapang angin.
Kucing bernama Molly disyaki mati akibat ditembak menggunakan senapang angin.
A
A
A

MELAKA - Seorang warga emas dan anaknya ditahan polis selepas disyaki menembak mati seekor kucing milik jiran yang memasuki rumah mereka menggunakan selaras senapang angin di Bukit Rambai di sini pada Isnin.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 2.30 petang selepas kucing bernama Molly masuk ke rumah suspek.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata, suspek masing-masing berusia 62 dan 27 tahun ditahan selepas pihaknya menerima laporan polis daripada jiran mereka berusia 44 tahun yang merupakan pemilik kucing terbabit .

Menurutnya, suspek utama ditahan di rumahnya pada jam 8 malam, manakala anaknya ditahan sehari selepas kejadian itu di hadapan Pejabat Cawangan Jenayah D9 Ibu Pejabat Daerah (IPD) Melaka Tengah lebih kurang jam 2.30 petang.

Katanya, mangsa hanya mengetahui kucing peliharaannya ditembak selepas membawa binatang itu mendapatkan rawatan di klinik haiwan kerana mengalami muntah darah dan terdapat luka kecil di belakang badan kucing.

"Difahamkan doktor yang merawat memaklumkan kepada mangsa binatang peliharaannya ditembak dan terdapat geguli besi dalam badan Molly menyebabkan ia tidak dapat diselamatkan.

"Mangsa kemudian membuat laporan polis dan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Jenayah D9 IPD Melaka Tengah ke rumah suspek dan merampas selaras senapang angin berserta beberapa alatan dipercayai alat ganti senapang itu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut dalam rumah suspek turut menemui 17 butir peluru penabur di dalam sebuah bilik.

Ujar beliau, hasil sial siasat, kedua-dua suspek mengaku terbabit dalam kes yang disiasat dan mereka direman selama empat hari.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 30 Akta Kebajikan Haiwan 2015, sabit kesalahan boleh didenda antara RM20,000 dan RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Isnin lalu, Polis Kedah menahan seorang lelaki bertindak kejam dengan menendang dan membaling batu bata ke arah dua ekor kucing dalam kejadian di kaki lima bangunan premis di Taman Semeling Maju, Sungai Petani, Kedah.

Terdahulu, tular rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi tiga minit yang memaparkan tindakan suspek melakukan keganasan terhadap dua ekor kucing.