Dua lelaki ditahan bantu siasat kes pukul di restoran

Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes seorang lelaki cedera dipukul rakannya di sebuah restoran di Bandar Mahkota Cheras. - Gambar hiasan
Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes seorang lelaki cedera dipukul rakannya di sebuah restoran di Bandar Mahkota Cheras. - Gambar hiasan
A
A
A

KAJANG - Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes seorang lelaki cedera dipukul rakannya di sebuah restoran di Bandar Mahkota Cheras, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dua lelaki berusia 34 dan 39 tahun itu ditahan di Bandar Puteri Puchong pada jam 2.35 pagi Isnin.

"Hasil semakan kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan dadah," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mohd Zaid berkata, kedua-dua suspek itu direman selama empat hari bermula Isnin hingga Khamis bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Pada Ahad, media melaporkan punca pergaduhan itu adalah perselisihan faham berkaitan hantaran di Facebook.

Polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa berusia 48 tahun jam 12.40 tengah malam Sabtu.

Siasatan mendapati kejadian berlaku jam 10 malam, semasa mangsa berada di restoran bersama empat lelaki dengan dua daripada mereka dikenali pengadu.

Pengadu dan suspek berjumpa kerana mereka bersetuju untuk menyelesaikan masalah peribadi mengenai perselisihan faham hantaran di Facebook.

Bagaimanapun, perbincangan itu menyebabkan suspek tidak berpuas hati dan memukul mangsa dengan menggunakan batang besi paip hingga mengakibatkan mangsa cedera di kepala.

Pengadu mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Bandar Mahkota Cheras dan menerima 12 jahitan di kepala akibat kecederaan terbabit.