'Saya tidak pernah terima apa-apa secara peribadi' - KJ

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

PETALING JAYA - Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menafikan pernah menerima sumbangan dana politik seperti yang dilaporkan dalam perbicaraan kes rasuah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Tegasnya, sekiranya perlu, beliau sedia memberi keterangan kepada pihak berkuasa.

"Saya tidak pernah terima apa- apa secara peribadi seperti mana yang dilaporkan, jika dipanggil saya bersedia beri kerjasama sepenuhnya," katanya pada sidang akhbar selepas selepas merasmikan Persidangan Pengarah-pengarah Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini pada Selasa.

Pada 13 Jun lalu, bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn BHD (UKSB) Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa syarikatnya memberi sumbangan dana politik antara RM50,000 hingga RM200,000 kepada Khairy.

Bagaimanapun katanya wang tersebut bertujuan untuk bantuan politik, bencana dan aktiviti secara kemanusiaan itu tidak diserahkan secara terus kepada Khairy, sebaliknya menerusi UMNO Bahagian Rembau yang mana Khairy merupakan Timbalan Ketua UMNO bahagian terbabit.

Pada 20 Mei lalu, Khairy dilapor antara individu berprofil tinggi menerima wang UKSB susulan beberapa perkataan yang dicatatkan di dalam buku lejar syarikat berkenaan.