SPRM siasat penama dalam lejar UKSB

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuka kertas siasatan terhadap penama-penama yang disebut oleh seorang saksi dalam perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

SPRM dalam kenyataan berkata, penama-penama berkenaan disenaraikan sebagai penerima dana daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) seperti dinyatakan dalam sebuah lejar yang dikemukakan semasa perbicaraan itu.

"SPRM juga mengesahkan telah menerima beberapa aduan terhadap individu-individu terlibat yang tersenarai dalam satu lejar seperti dikemukakan di mahkamah dalam perbicaraan berkenaan.

"Siasatan yang akan dijalankan adalah mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009," menurut kenyataan itu, pada Sabtu.

Pada Jumaat Sinar Harian melaporkan seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa UKSB memberi dana sebanyak RM1.3 juta kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2018.

Bekas pengurus pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, 47, berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Zahid Hamidi dalam perbicaraan berhubung projek Visa Luar Negara (VLN).

Selain Muhyiddin antara ahli politik lain yang disebut-sebut sepanjang prosiding berkenaan ialah Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Aman.

Nama-nama ahli politik itu terdapat di dalam lejar UKSB serta Laporan Analisis kes Cawangan Forensik dan Teknologi SPRM.