Invest Selangor sasar 30 pameran pesawat statik SAS 2022

Gambar kecil: Hasan Azhari
Gambar kecil: Hasan Azhari
A
A
A

INVEST Selangor Bhd menyasarkan untuk 30 pameran pesawat statik yang terdiri daripada jet peribadi perniagaan, helikopter, pesawat ringan dan dron untuk Pameran Penerbangan Selangor (SAS) 2022 yang dijadual berlangsung pada September depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hasan Azhari Idris berkata, satu-satunya pameran penerbangan perniagaan di rantau Asia akan dihoskan pada skala yang lebih besar berbanding tahun lepas dengan menempatkan lebih 70 ruang pameran, berkeluasan lebih 38,000 meter persegi kawasan pameran tersebut merangkumi dua hangar di Pusat Penerbangan Serantau Subang SkyPark.

Beliau berkata, acara itu akan menjadi lokasi terbaik untuk pemain industri penerbangan memulihkan perniagaan mereka pasca pandemik dan memainkan peranan penting dalam merapatkan platform utama bagi penggiat industri aeroangkasa untuk menjalin kerjasama dan meneroka potensi pelaburan dan rakan kongsi di peringkat global dan domestik.

"Ini adalah peluang untuk pemain industri menjalin kerjasama dengan rakan industri lain dari rantau lain untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.

"Ia bukan sahaja untuk mereka yang menyediakan atau menjual pesawat tetapi juga untuk mereka yang menyediakan perkhidmatan seperti perundingan, latihan, katering, reka bentuk dalaman untuk pesawat,” katanya dalam program ‘The Nation’ terbitan Bernama TV, pada Isnin.

SAS 2022 dijadual berlangsung selama tiga hari mulai 8 September depan, memfokuskan pada penerbangan perniagaan. Ia terbuka kepada orang ramai secara percuma pada hari terakhir acar tersebut dan kemasukan adalah melalui pendaftaran dalam talian.

Hasan berkata, edisi 2022 dijangka menerima lebih ramai pengunjung antarabangsa merangkumi pempamer dan pembeli berikutan kelonggaran sekatan perjalanan.

"Enam negara menyertai SAS pada 2021. Kami menjangkakan 10 negara akan mengambil bahagian tahun ini,” katanya.

Tahun lepas, sebanyak 18 pesawat statik dipamerkan dengan menempatkan 47 ruang pameran dan mencatatkan lebih 5,000 pengunjung. -Bernama