Pengasas Persekutuan Snuker, Biliard Malaysia meninggal dunia

Chin Wai Yeong
Chin Wai Yeong
A
A
A

PENGASAS dan bekas Presiden Persekutuan Snuker dan Biliard Malaysia (MSBF), Datuk Chin Wai Yeong, meninggal dunia pada Isnin akibat radang paru-paru pada usia 83 tahun.

Presiden MSBF, Melvin Chiah berkata, Wai Yeong meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 10.45 pagi.

Beliau berkata, bekas pentadbir sukan itu yang lebih dikenali sebagai W.Y. Chin, juga telah disahkan menghidapi demensia.

"Disember lepas, beliau diserang sakit jantung dua kali dan dua sten telah dimasukkan,” kata Melvin kepada Bernama.

Wai Yeong yang juga bekas Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), meninggalkan isteri, Datin Yvonne Yeoh, 78, serta dua anak seorang lelaki dan seorang perempuan.

Menurut MOM, Wai Yeong telah memegang pelbagai jawatan penting dalam badan sukan kebangsaan, rantau dan antarabangsa, untuk tempoh lebih dua dekad.

Beliau juga memainkan peranan penting dalam membantu Malaysia memenangi dua pingat perak pada Sukan Asia Bangkok ke-13 dan Sukan Asia Doha ke-15.

Beliau telah dimasukkan ke dalam Dewan Kemasyhuran MOM pada 2011 atas jasanya dalam bidang sukan.

Menurut bekas pembantu peribadi Wai Yeong, Patricia Khoo, mayat mendiang ditempatkan di Pusat Xiao En di Jalan Kuari, Cheras di sini.

Upacara penghormatan akan diadakan dari 11 pagi ke 2 petang dan 5 petang ke 9 malam pada 23 dan 24 Jun manakala pengebumian pada 10 pagi 25 Jun. - Bernama