Kes pemecatan salah kerajaan AS patut diputuskan Mahkamah Perusahaan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Perusahaan adalah forum sesuai untuk memutuskan sama ada kerajaan Amerika Syarikat (AS) dilindungi imuniti daripada tuntutan pemecatan salah yang difailkan oleh seorang bekas pengawal keselamatan yang bekerja di kedutaan negara itu di Kuala Lumpur.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan pada Isnin berkata, Mahkamah Tinggi bukanlah forum sesuai untuk memutuskan isu itu.

Beliau juga berkata, kes pemecatan salah L Subramaniam terhadap kerajaan AS sepatutnya diputuskan oleh Mahkamah Perusahaan.

Panel yang terdiri daripada Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim membuat keputusan itu selepas menolak rayuan kerajaan AS terhadap perintah Mahkamah Rayuan yang memihak kepada Subramaniam.

Dalam penghakimannya, Azahar berkata, sama ada imuniti itu terpakai kepada kerajaan AS bergantung kepada penemuan fakta berkaitan ciri, tanggungjawab dan skop tugas Subramaniam.

"Keterangan yang relevan lebih molek dikemukakan kepada Mahkamah Perusahaan di mana perkara itu akan didengar dan kedua-dua pihak boleh saling menyoal balas berhubung ciri sebenar pekerjaan Subramaniam dan tindakan pemecatan itu," katanya.

Subramaniam, 54, mendakwa beliau hanya menjalankan tugas sebagai pengawal keselamatan di kedutaan itu dan tidak terlibat dengan fungsi diplomatik atau keputusan kerajaan AS selain tidak memiliki sebarang akses kepada maklumat atau dokumen sulit yang berkaitan dengan kedutaan itu atau kerajaan AS.

Selepas bertugas lebih 10 tahun dengan Kedutaan AS di Kuala Lumpur, Subramaniam mendakwa telah dipecat secara salah pada 2008 dan beliau kemudian memfailkan representasi mengikut Seksyen 20(1) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 yang menuntut agar jawatannya sebagai pengawal keselamatan dikembalikan.

Pada April 2019, Menteri Sumber Manusia ketika itu, M Kula Segaran merujuk perkara tersebut kepada Mahkamah Perusahaan.

Kerajaan AS kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman kepada Mahkamah Tinggi yang antara lain meminta agar keputusan Menteri Sumber Manusia dibatalkan dan deklarasi bahawa negara itu serta kedutaannya dilindungi imuniti daripada bidang kuasa Mahkamah Perusahaan.

Pada 8 Jan 2020, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kerajaan AS dan kedutaannya dilindungi oleh imuniti serta mengarahkan Mahkamah Perusahaan agar tidak mendengar kes pemecatan salah Subramaniam.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada tahun lepas mengetepikan keputusan itu dan memerintahkan Mahkamah Perusahaan meneruskan pendengaran tuntutan tersebut yang menyebabkan kerajaan AS membawa perkara berkenaan ke Mahkamah Persekutuan.

Peguam Lim Heng Seng mewakili kerajaan AS, Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin hadir bagi pihak Menteri Sumber Manusia serta Mahkamah Perusahaan manakala peguam Tai Yong Fung dan Joshua Tan-Jo Ven mewakili Subramaniam. - Bernama