Arab Saudi lancar Pelan Operasi musim haji 2022

Kerajaan Arab Saudi pada April lalu mengumumkan membenarkan sejuta jemaah haji berumur bawah 65 tahun dari dalam dan luar negara untuk melakukan ibadah itu bagi tahun ini. - Foto 123RF
Kerajaan Arab Saudi pada April lalu mengumumkan membenarkan sejuta jemaah haji berumur bawah 65 tahun dari dalam dan luar negara untuk melakukan ibadah itu bagi tahun ini. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi mengumumkan pelancaran Pelan Operasi berskala besar bagi musim haji 1443 H, yang menumpu kepada 10 langkah utama di bawah matlamat strategik Wawasan 2030 Arab Saudi.

Ketua Pengarahnya, Sheikh Dr Abdul Rahman Al-Sudais menyifatkan pelan itu adalah yang terbesar pernah dirancang dalam menawarkan perkhidmatan berkualiti dan mampan untuk jemaah haji, selepas dua tahun dihentikan akibat penularan Covid-19 di seluruh dunia.

"Penyediaan pelan itu sudah dimulakan sejak musim haji tahun lalu lagi melibatkan pelbagai pihak dan sektor perkhidmatan haji,” katanya dalam taklimat media pada Ahad yang disiarkan secara langsung dari Makkah menerusi portal jabatan berkenaan.

Jabatan itu telah menggerakkan 10,000 petugas lelaki dan wanita untuk menyantuni sejuta jemaah haji yang dibenarkan pada musim kali ini.

Tambahnya, jabatan juga telah melancarkan perkhidmatan digital menerusi beberapa aplikasi pintar dan platform elektronik yang terbukti telah memberi manfaat kepada lebih 160 juta pengguna, antaranya penyediaan terjemahan 10 bahasa teks khutbah dan pengajian di Masjidil Haram.

"Jabatan ke arah transformasi pendigitalan dalam semua perkhidmatannya, termasuk pengenalan sistem navigasi, robot (AI) dan al-Quran elektronik Braille bagi memudahkan jemaah haji,” katanya.

Jelasnya lagi, pada tahun ini, Pintu Raja Abdulaziz, Pintu Raja Fahd dan Pintu Bab Al Salam yang telah dinaik taraf akan dibuka sebagai laluan masuk jemaah haji dan pengunjung, sebagai tambahan kepada 144 pintu lain yang terdapat di Masjidil Haram.

Mengenai air zamzam, katanya, jabatan akan memastikan sebanyak empat juta botol air zamzam sehari diagih dengan tiga juta di Masjidil Haram dan bakinya di Masyair.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan, proses nyahkuman dilakukan di setiap sudut Masjidil Haram dan kemudahannya sebanyak 10 kali sehari bagi mengekalkan persekitaran yang bersih.

"Jabatan memberi fokus kepada integrasi, kesalinghubungan dan kerjasama pelbagai pihak, serta penerapan standard tertinggi dalam memberi perkhidmatan terbaik demi keselamatan jemaah haji daripada sebarang wabak penyakit,” katanya dalam taklimat media yang turut disertai Menteri Haji dan Umrah, Dr Tawfiq Al-Rabiah dan Pengarah Keselamatan Awam, Leftenan Jeneral Muhammed Al-Bassami.

Pada masa sama, kemudahan bagi jemaah haji warga emas dan orang kurang upaya (OKU) telah diperkemas dan dipertingkat dengan penyediaan 500 petugas teknikal dan 2,000 kerusi roda elektrik, yang boleh ditempah melalui aplikasi 'Tanaqol', bagi kelancaran pergerakan di Mataf (laluan Tawaf).

Kerajaan Arab Saudi pada April lalu mengumumkan membenarkan sejuta jemaah haji berumur bawah 65 tahun dari dalam dan luar negara untuk melakukan ibadah itu bagi tahun ini, dengan tertakluk kepada syarat tertentu termasuk melengkapkan vaksin Covid-19. - Bernama