Berbaloi lepaskan Nurul Izzah sertai pasukan negara

Nurul Izzah Izzati memenangi emas acara 500 meter ujian masa pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia di New Delhi pada Ahad. - Foto ihsan FB John Beasley
Nurul Izzah Izzati memenangi emas acara 500 meter ujian masa pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia di New Delhi pada Ahad. - Foto ihsan FB John Beasley
A
A
A

ALOR SETAR - Pengorbanan melepaskan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, 19, dari Kedah untuk menyertai pasukan negara berbaloi, apabila beliau berjaya mencipta sejarah memenangi pingat emas acara 500 meter ujian masa di New Delhi pada Ahad, kata Noor Alfizar Othman.

Noor Alfizar, 45, yang merupakan Ketua Jurulatih Sukan Berbasikal Negeri Kedah berkata, beliau yang mula menjadi jurulatih pada tahun 2005 itu, mula melatih Nurul Izzah Izzati pada tahun 2015 ketika atlet itu berusia 12 tahun.

"Nurul Izzah Izzati memulakan karier dalam sukan berbasikal di bawah Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah dan tidak sampai setahun dia telah berjaya memenangi pingat gangsa di Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2016, dalam kategori rentas desa mountain bike.

"Bermula dari situ, dia banyak menyertai kejohanan lain dan berjaya memenangi pelbagai kategori termasuk trek. Ramai yang terkejut melihat pencapaiannya kerana walaupun masih muda, dia berjaya mengalahkan pemain yang lebih berpengalaman,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Noor Alfizar berkata, dari situ Nurul Izzah Izzati yang lebih mesra dengan panggilan ‘Angah’ itu, banyak menyertai kejohanan trek dan dia terkejut dengan potensi, kemahuan dan kesungguhan yang dipamerkan atlet itu, untuk memenangi sesuatu kejohanan.

Pada Ahad, Nurul Izzah Izzati memenangi pingat emas acara 500 meter ujian masa pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia yang diadakan di Velodrom Kompleks Indira Gandhi, New Delhi, India dengan mencatatkan masa 35.499 saat (s).

Pencabar terdekat Kim Bomi dari Korea Selatan berada di kedudukan kedua dengan 36.374s, manakala wakil tuan rumah Mayuri Dhanaraj di tempat ketiga (36.481s), menurut laman rasmi kejohanan www.atcc2022.com.

Mengulas lanjut, Noor Alfizar berkata, atlet itu menunjukkan prestasi yang semakin bagus dan mula mendapat jolokan nama ‘Azizulhasni Awang versi Wanita’, semasa memenangi pingat pada Sukma Perak pada 2018.

"Bermain untuk pasukan Kedah ini kurang dapat perhatian negara, tetapi ia berubah apabila dia berjaya mencatatkan masa 34.869s dalam Junior Cycling Malaysia (JCM) sebelum ini. Pada masa itu, John Beasley yang merupakan jurulatih jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang menghubungi saya dan bertanya adakah saya sudah bersedia untuk melepaskan Nurul Izzah Izzati.

"Saya memang ingin melihat dia pergi lebih jauh, jadi pada 10 Januari lepas, saya pergi menghantar dia ke Bukit Jalil untuk sertai pasukan negara. Saya beritahu pihak pengurusan di sana untuk membantu Nurul Izzah Izzati sehabis baik, dan meneruskan harapan yang dibawa dari Kedah,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, selepas memenangi kejohanan itu semalam, Nurul Izzah Izzati ada menghubunginya, namun beliau tidak sempat menjawab panggilannya berkenaan kerana sedang sibuk menguruskan pasukan di JCM di Velodrom Nasional, Nilai.

"Dia ada hantar gambar menang pingat emas tetapi saya tidak membalas kerana sedang sibuk. Mungkin dia ingat saya marah kerana tidak dapat catat masa yang lebih baik, jadi dia ada minta minta maaf tetapi saya maklum pada dia, itu tidak jadi masalah kerana ada masa lagi untuk perbaiki catatan masanya.

"Impian saya adalah untuk melihat Nurul Izzah Izzati ke Olimpik 2028, dan berharap ia akan tercapai. Saya juga harap kerajaan negeri dapat beri perhatian, kerana kita sebenarnya boleh pergi lebih jauh kerana ada jurulatih dan atlet yang bagus, cuma kekangan yang ada sekarang adalah dari aspek peralatan,” katanya.

Katanya, pasukan berbasikal Kedah tidak mengharapkan penyediaan Velodrom yang berharga berjuta-juta sebaliknya bantu menyediakan basikal kepada setiap seorang atlet, bagi membolehkan lebih ramai atlet seperti Nurul Izzah Izzati dilahirkan dari Kedah.

Dalam pada itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor turut menyampaikan ucapan tahniah atas kejayaan Nurul Izzah Izzati sebagai anak Kedah dan akan meminta pihak MSN Kedah untuk melihat ganjaran untuk diberikan kepadanya. - Bernama