Pemandu kereta, penunggang motosikal maut nahas berasingan

(Gambar kiri) Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Lebuhraya Duke pada Isnin. (Gambar kanan) Keadaan kenderaan yang remuk akibat nahas di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur pada Isnin.
(Gambar kiri) Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Lebuhraya Duke pada Isnin. (Gambar kanan) Keadaan kenderaan yang remuk akibat nahas di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pemandu sebuah kenderaan dan penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam nahas di dua lokasi berasingan di Jalan Syed Putra dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) di sini pada Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, dalam kejadian pertama pada jam 6 pagi, seorang lelaki memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner dari Lebuhraya Persekutuan menghala ke Bulatan Sultan Mohammad.

"Sampai di tempat kejadian, kenderaan itu telah hilang kawalan lalu terbabas di bahu kiri jalan bertentangan dengan Sekolah Menengah Kuen Cheng.

"Akibat kemalangan tersebut, pemandu seorang lelaki berumur 30 tahun mengalami cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam kejadian berasingan, Sarifudin berkata, kemalangan di kilometer 3.2 Lebuhraya Duke menghala ke Gombak berhampiran dengan susur ke Jalan Kuching melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi dan motosikal Yamaha LC135 pada jam 9.35 pagi.

"Penunggang motosikal tersebut telah melanggar belakang kereta berkenaan.

"Akibat kemalangan itu, mangsa berumur 26 tahun mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.