Menara masjid berusia 169 tahun dipanah petir

Puncak Menara Masjid Serkam Pantai yang dipanah petir. Zakaria menunjukkan serpihan batu puncak menara yang ditemui di ruang solat utama Masjid Serkam Pantai, di sini, pada Isnin.
Puncak Menara Masjid Serkam Pantai yang dipanah petir. Zakaria menunjukkan serpihan batu puncak menara yang ditemui di ruang solat utama Masjid Serkam Pantai, di sini, pada Isnin.
A
A
A

JASIN - Puncak Menara Masjid Serkam Pantai, di sini yang berusia 169 tahun dipanah petir menyebabkan serpihan batu nyaris terkena jemaah di ruang solat utama pada Isnin.

Timbalan Pengerusi Masjid Serkam Pantai, Zakaria Abu Bakar, berkata, dalam kejadian lebih kurang jam 6.45 pagi, jemaah telah selesai solat namun terdapat beberapa jemaah sedang berwirid.

Menurutnya, secara tiba-tiba jemaah dikejutkan dengan bunyi petir yang kuat sebelum bekalan elektrik terputus.

Katanya, akibat panahan petir, puncak masjid warisan yang dibina daripada batu merah rosak teruk dan 15 keping atap genting terpaksa ditukar baharu.

"Bernasib baik kerana tiada jemaah yang terkena serpihan batu itu.

"Atap masjid hanya disedari rosak apabila hujan masuk menerusinya," katanya ketika ditemui di sini, pada Isnin.

Atap genting masjid yang mengalami kerosakan akibat terkena serpihan batu menara.
Atap genting masjid yang mengalami kerosakan akibat terkena serpihan batu menara.

Jelasnya, biarpun merupakan kejadian pertama sejak masjid dibina pada tahun 1853, namun kerugian dialami sukar untuk dianggarkan kerana ia masjid warisan dan antara masjid tertua di Melaka.

Ujarnya, kejadian itu turut menyebabkan kereta seorang jemaah yang diletakkan di bawah menara mengalami kerosakan cermin.

"Jabatan Kerja Raya, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan sebagainya telah datang untuk memastikan struktur masjid ini masih selamat digunakan.

"Apa yang berlaku kerana kekuasaan ALLAH, dengan izin ALLAH," katanya lagi.