Zahid ulangi kenyataan beri kerusi kepada Friends of BN

Ahmad Zahid (tiga dari kanan) memotong kek sebagai simbolik sambutan Hari Bapa pada Program Santai Bersama Bossku anjuran Parti Makkal Sakti Malaysia di Nilai pada Ahad.
Ahmad Zahid (tiga dari kanan) memotong kek sebagai simbolik sambutan Hari Bapa pada Program Santai Bersama Bossku anjuran Parti Makkal Sakti Malaysia di Nilai pada Ahad.
A
A
A

NILAI - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengulangi kenyataannya bahawa Friends of BN pasti diberi peluang untuk dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Saya pasti akan beri peluang (Friends of BN). Di mana (kerusi) kita boleh bincang," katanya ringkas kepada pemberita selepas selesai Program Santai Bersama Bossku anjuran Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap Ahli Parlimen Pekan dan Pengerusi Makkal Sakti, Datuk Seri R S Thanenthiran.

Selain Makkal Sakti, Friends of BN turut dianggotai Parti Cinta Malaysia (PCM), Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) dan Parti Punjabi Malaysia (PPM).

Sementara itu, Najib ketika mengulas perkara tersebut menyerahkan kepada pucuk pimpinan BN untuk menimbangkan kerusi untuk Friends of BN.

"Kita harap dapat cari kata sepakatlah dalam hal ini. Saya sedar ada sensitiviti pasal soal kerusi-kerusi ini tapi kita cuba cari jalan pemuafakatanlah antara kita supaya yang objektif, matlamatnya BN nak menang. Itu sahaja," katanya.