Kanak-kanak 4 tahun lemas di taman tema air

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TEMERLOH - Seorang kanak-kanak perempuan ditemukan lemas di sebuah taman tema air di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff memberitahu, mangsa berumur empat tahun itu disahkan maut selepas lemas di kolam bahagian kanak-kanak yang berkedalaman kira-kira 0.15 meter.

Menurutnya, pihak polis telah menerima laporan mengenai kejadian kira-kira jam 8.42 malam pada Sabtu.

"Satu laporan polis telah dibuat oleh seorang lelaki berumur 45 tahun berkenaan kejadian anaknya meninggal dunia disebabkan lemas bertempat di taman tema air tersebut.

"Hasil siasatan polis mendapati pengadu telah pergi ke tempat tersebut pada jam 5 petang bersama keluarganya.

"Pada jam 6 petang, anak saudara pengadu memaklumkan bahawa anak perempuannya berumur empat tahun telah lemas di kolam bahagian kanak-kanak terbabit," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ujarnya, mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk rawatan, namun telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

"Satu bedah siasat telah dibuat pada Ahad dan didapati punca kematian adalah disebabkan lemas. Kes telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai yang ingin mengunjungi pusat rekreasi supaya sentiasa peka berkenaan keselamatan anak-anak dan keluarga sewaktu berada di pusat rekreasi terutamanya di taman tema air.