Warisan fokus perkukuh parti sebelum putus kerjasama politik

Mohd Shafie (tiga dari kiri) ketika meninjau sekitar pejabat Warisan Negeri Sembilan.
Mohd Shafie (tiga dari kiri) ketika meninjau sekitar pejabat Warisan Negeri Sembilan.
A
A
A

SEREMBAN - Parti Warisan memberi fokus untuk memperkuatkan parti sebelum memutuskan kerjasama dengan gabungan dan parti politik lain.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, keutamaan Warisan buat masa ini adalah memperkukuhkan parti di negeri dan bahagian yang berpotensi untuk ditawan dan dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"...yang penting kita kukuhkan rumah (parti) kita dulu, bila rumah kita kuat baru cerita siapa rakan kongsi kita, siapa rakan gabungan," katanya kepada pemberita selepas selesai Majlis Pelancaran dan Perasmian Pejabat Perhubungan Parti Warisan Negeri Sembilan pada Ahad.

Beliau bagaimanapun mengakui bukan mudah untuk partinya bertanding sendirian di Semenanjung namun berbeza di Sabah.

"Kita sedar bukan mudah kalau kita bertanding berseorangan tetapi di Sabah sudah biasa. Di Sabah berjaya satu parti sahaja, tiada gabungan.

"Saya yakin di Semenanjung formula itu tidak boleh dipakai kerana di sini ada kerjasama dengan parti lain. Saya akan lihat gabungan mana yang kita perlu adakan atau wujudkan," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai jumlah kerusi parlimen yang parti itu bertanding pada PRU15, Mohd Shafie berkata, ia belum diputuskan dan akan dimaklumkan kelak.